GUA MUSANG - Kurang sembilan jam terlibat dalam kejadian samun, seorang lelaki dan wanita ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Gunung Stong Resort, Dabong awal pagi tadi.
Serbuan yang dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada jam 1.30 pagi itu turut merampas satu beg tangan, dua telefon bimbit, kad pengenalan suspek dan lapan unit anak kunci.
Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, suspek lelaki berusia 31 tahun beralamat di Pasir Puteh manakala wanita pula berusia 21 tahun dan beralamat di Tanah Merah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka mengaku melakukan rompakan terhadap seorang lelaki di Gua Musang dan melarikan sebuah kereta Proton Satria.
"Suspek juga mengaku telah menjerut mangsa dengan menggunakan tali dari bahagian belakang kereta dan cuba menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau.
"Seorang suspek turut memberitahu, kereta yang disamun disorok di tepi jalan Gunung Stong dan membuang satu telefon bimbit di kawasan semak tepi jalan selepas kejadian.
"Mereka mendakwa dalam keadaan terdesak dan amat memerlukan wang untuk pulang ke Pasir Puteh. Suspek lelaki didapati positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.
Mohd Taufik berkata pemeriksaan dalam kereta yang disorok menemui beberapa barang iaitu sebilah pisau berhulu kayu yang mempunyai kesan darah tertulis 'Freesheep', seutas tali hijau, tiga helai tisu dengan kesan darah, sebuah beg merah dan sekeping surat saman.
Sebelum ini, mangsa samun Zulakram Zainal Abidin, 27, dari Kampung Baru Kundur membuat laporan polis berkaitan kes yang berlaku pada 3 Januari lalu.
Menurut pengadu, pada jam kira-kira 5 petang, dia menerima pesanan menerusi Messenger Facebook daripada rakan yang meminta mengambil dan menghantarnya ke stesen bas di Hentian Gua Musang.
Katanya, pada jam 5.15 petang, dia tiba dengan menaiki kenderaan jenis Satria dan berjumpa dengan rakannya itu serta seorang wanita yang tidak dikenali.
"Suspek menyuruh saya membawanya ke stesen bas namun sebaik tiba di hadapan klinik 1Malaysia, rakan menjerut leher saya dengan tali kemudian wanita berkenaan mengeluarkan sebilah pisau dan menikam saya dari arah belakang.
"Saya sempat memegang pisau tersebut tetapi cedera di kedua-dua tapak tangan.
"Selepas itu, mereka terus melarikan kereta dan saya dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan," katanya.