BATU PAHAT - Dakwaan kononnya ada orang yang ingin 'menghapuskan' Bella dinafikan oleh Norhisham Samsusah, 36, yang juga kakak kepada ibu tunggal Mira Sharmila, 32.
Norhisham turut mempersoalkan di mana pihak berkenaan mendapat cerita yang tidak pernah diceritakan adiknya itu sebelum dilaporkan hilang pada 14 Disember lalu.
"Saya tak tahu mana mereka dapat cerita ini," jawabnya selepas ditanya tentang berita yang mengatakan ada orang nak 'hapuskan' Bella seperti yang dilaporkan sebuah akhbar.
Norhisham menerusi muat naik di dalam akaun TikTok miliknya turut meluahkan rasa terkilan tidak dapat melihat adiknya itu, sebelum dilaporkan hilang.
Dia menyifatkan Bella umpama belahan jiwanya dan rapatnya kasih sayang dua beradik itu membuatkan mereka saling mengetahui apa yang dilakukan walaupun tidak duduk bersama.
"Macam-macam usaha sudah saya lakukan untuk mendapatkan semula Bella. Kenapa rangka yang kami dapat, tidak dapatkah kami melihat untuk kali terakhir wajah Bella?" tulisnya.
Pada 14 Disember tahun lalu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda saja.