PUTRAJAYA - Penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran 'AI Untuk Rakyat', sebagai langkah memastikan peningkatan kesedaran mereka terhadap penggunaan teknologi termaju.
Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran Pelaksanaan program ‘AI Untuk Rakyat’ Dalam Kalangan Penjawat Awam bertarikh 17 Januari 2024 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Menurut surat edaran berkenaan, perkara itu terpakai untuk semua penjawat awam di peringkat kementerian, jabatan, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa berkanun Persekutuan, pihak berkuasa berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.
"Penglibatan penjawat awam dalam program 'AI Untuk Rakyat' dilihat berupaya meningkatkan pencapaian pelaksanaan inisiatif pendigitalan oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam,” demikian menurut surat edaran itu.
Program 'AI Untuk Rakyat' ialah program pembelajaran secara dalam talian selama empat jam dan penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran itu bagi memperoleh lencana ‘AI Aware’ dan ‘AI Appreciate’.
"Laporan penyertaan program 'AI Untuk Rakyat' di peringkat organisasi masing-masing hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi melalui e-mel radin.hambali@ekonomi.gov.my.
"Sesalinan laporan itu juga hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui e-mel johanna.zainal@jpa.gov.my,” menurut surat edaran itu.
Berdasarkan surat yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi JPA hari ini itu, program AI boleh dicapai menerusi portal 'AI Untuk Rakyat' melalui pautan www.ai.gov.my.
Surat edaran itu juga menyatakan sebarang pertanyaan mengenai penggunaan portal 'AI Untuk Rakyat' boleh dikemukakan terus kepada pihak MyDIGITAL Corporation (MYDC) yang akan memberikan maklum balas sewajarnya terhadap setiap pertanyaan pengguna menerusi alamat e-mel c4ir@mydigital.gov.my seperti yang tertera dalam portal itu atau e-mel contactus@mydigital.gov.my atau menghubungi talian 03-88618282.
Selasa lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan program 'AI Untuk Rakyat' dan menyasarkan sejuta pengguna menjelang akhir tahun ini. - Bernama