KOTA BHARU - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi membolehkan lebih ramai pesakit jantung kanak-kanak khususnya dari pantai timur dibantu menerima rawatan dan pembedahan di Hospital USM (HUSM).
Naib Canselor USM, Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, setiap tahun terdapat kira-kira 250 hingga 300 bayi dilahirkan mempunyai masalah jantung kongenital di Kelantan dengan sebahagian besarnya daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.
"Daripada jumlah itu, hampir satu per tiga daripada mereka memerlukan rawatan awal sama ada secara pembedahan atau tanpa pembedahan.
"Jadi dengan kerjasama strategik ini, YJKM bersetuju menampung caj rawatan hospital hingga RM3,000 bagi seorang pesakit sekali gus membantu meringankan beban golongan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penandatanganan MoA itu di USM Kubang Kerian di sini pada Ahad.
MoA itu ditandatangani Abdul Rahman mewakili USM manakala YJKM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Chin Zhia.
Menurut Abdul Rahman, HUSM merupakan satu-satunya hospital di pantai timur yang menawarkan pembedahan pesakit jantung kanak-kanak dengan kira-kira 60 pembedahan dijalankan setiap tahun, selain rawatan jantung secara transkater dan merawat pelbagai jenis penyakit jantung kongenital hingga 120 pesakit dalam tempoh sama.
Beliau berkata, HUSM bukan hanya merawat pesakit dari Kelantan, tetapi juga menerima sejumlah pesakit dari Terengganu.
"Oleh itu, kerjasama dua hala ini akan turut memberi manfaat kepada pesakit dari luar Kelantan. Kita harap kerjasama ini dapat dikembangkan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai pesakit jantung kanak-kanak untuk menerima rawatan yang lebih baik," katanya.
Sementara itu, Chin Zhia berkata, MoA bersama USM berkenaan merupakan kerjasama ketiga pihaknya sejak program itu diperkenalkan pada 2020, dengan kerjasama pertama bersama Institut Jantung Negara diikuti Hospital Pantai.
Beliau berkata, setakat awal tahun ini yayasan itu telah menampung kos pembedahan seramai 15 pesakit jantung di seluruh negara selain telah menyumbang sejumlah RM500,000 bagi bantuan peralatan dan rawatan susulan kepada pesakit. - Bernama