Deklarasi Kampala sidang kemuncak NAM gesa gencatan senjata di Gaza

Iklan
Peserta-peserta yang hadir semasa pembukaan sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali ke-19 di Munyonyo, Kampala, Uganda pada Sabtu. Foto EPA

KAMPALA - Sidang kemuncak ke-19 negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) mengeluarkan Deklarasi Kampala yang mengecam pencerobohan tentera Israel dan menggesa pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk membenarkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Deklarasi itu turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan sewenang-wenangnya terhadap orang awam Palestin dan tindakan rejim Israel mengusir penduduk selain menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera yang berkekalan, lapor Agensi Anadolu.

Iklan
Iklan

Sidang kemuncak itu turut mengulangi bahawa perlu ada tindakan segera, tuntas dan berkesan ke arah mencapai penamatan pendudukan Israel, termasuk mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara menerusi penyelesaian dua negara yang berdasarkan sempadan sebelum 1967.

Selain itu, sidang kemuncak berkenaan turut mengesahkan sokongan supaya Palestin diterima sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mendapatkan hak mereka yang sah.

Iklan

Deklarasi Kampala turut mengutuk semua tindakan Israel yang menceroboh dan cuba untuk mengubah status fizikal dan demografi undang-undang di Golan Syria yang diduduki dan sekali lagi mendesak agar Israel mematuhi resolusi UNSC yang berkaitan dan berundur sepenuhnya dari Golan.

Sidang kemuncak juga mengutuk ketidakadilan terhadap Afrika dan menyokong pembaharuan UNSC mengenai jumlah perwakilan untuk Afrika dalam Majlis Keselamatan dan dengan itu menyokong African Common Position seperti yang termaktub dalam Konsensus Ezulwini dan Deklarasi Sirte.

Iklan

Sidang kemuncak yang diadakan di Uganda itu melabuhkan tirainya pada Sabtu, turut menyaksikan Presiden Yoweri Museveni secara rasmi memegang jawatan pengerusi pergerakan berkenaan untuk tempoh tiga tahun lagi. - Bernama/ Agensi Anadolu