JOHOR BAHRU - Tindakan seorang lelaki warga asing berjalan kaki dalam keadaan berbogel di tempat awam sekitar bandar raya ini akibat kecewa ditinggalkan teman wanitanya mengundang padah apabila dia ditahan polis sekitar 1.38 pagi Jumaat lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan mengenai perkara tersebut daripada seorang wanita warga tempatan yang juga penjaga kaunter sebuah hotel di sini sekitar jam 10 malam, pada Khamis.
Iklan
Iklan
Katanya, wanita berusia 26 tahun itu telah menyaksikan kejadian suspek berjalan dalam keadaan berbogel di tempat awam.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek di tempat kejadian.
"Hasil siasatan polis, kejadian didapati berpunca kerana suspek yang berusia 37 tahun tidak dapat menerima hakikat ditinggalkan oleh teman wanitanya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.