MAJLIS pelancaran sambutan Ponggal bersama 'Bombay Bazaar' di rangkaian pasar raya Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) di sini berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai segmen masyarakat India.
Majlis diserikan dengan persembahan seni dan kebudayaan masyarakat India seperti persembahan instrumen musik Veena daripada Kabbil Raaj, membuat 'kolam' dan memasak Ponggal.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, Mydin sebagai rangkaian pemborong dan peruncit tempatan yang amat dekat di hati pengguna, sentiasa meraikan kepelbagaian budaya dan kaum di negara ini.
"Sambutan ponggal ini adalah acara tahunan yang kami anjurkan bagi menzahirkan penghargaan kepada pelanggan kaum India di samping mengajak pelbagai kaum untuk bersama-sama mengukuhkan semangat perpaduan kaum di negara kita.
"Pesta ponggal membawa erti melimpah ruah dan disambut sebagai tanda kesyukuran terhadap alam semula jadi dan rezeki dalam kehidupan seharian.
"Saya harapkan semoga rezeki kita semua sentiasa melimpah ruah, bukan itu sahaja bahkan yang paling utama agar kita diberi kesempatan untuk saling berkongsi rezeki untuk yang kurang berkemampuan," katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan di pasar raya Mydin USJ Subang Jaya pada Ahad.
Dalam pada itu, Ameer berkata, Bombay Bazaar yang dianjurkan di Mydin merupakan antara wadah utama dalam memeriahkan kempen Warna-Warni Deepavali yang disambut cukup meriah tahun lepas.
"Bazar ini berjaya menghimpunkan usahawan berbangsa India dari pelbagai segmen perniagaan bagi memasarkan dan mempromosi produk mereka.
"Jujur saya katakan, saya amat kagum melihat kesungguhan usahawan memperkenalkan produk serta mendekati pelanggan secara 'one to one'. Saya akui ianya bukan mudah, namun itulah pengorbanan dan liku-liku kehidupan mereka yang bergelar usahawan," katanya.
Sementara itu, beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan tahniah kepada penganjur Bombay Bazaar, Taaka Lee Sdn Bhd di atas pencapaian mencatat rekod baru Malaysia Book of Records.
"Saya difahamkan Bombay Bazaar ini berjaya mengumpulkan lebih 300 usahawan-usahawan dari platform digital untuk turun padang.
"Saya berharap kerjasama yang terjalin ini dapat terus meningkatkan penglibatan usahawan untuk turun padang mendekati prospek pelanggan, membina branding serta membina jaringan perniagaan dan saling menyokong antara satu sama lain," katanya.
Bombay Bazaar dengan kerjasama Taaka Lee Studio menawarkan pelbagai promosi makanan dan pakaian tradisional masyarakat India, persembahan kebudayaan serta dekorasi hiasan kolam menarik.
Bombay Bazaar melibatkan cawangan Mydin Mutiara Rini (Johor), Seremban (Negeri Sembilan), Jasin (Melaka), Subang Jaya (Selangor) dan Ipoh (Perak) serta Bukit Mertajam (Pulau Pinang).