PERSEMBAHAN Harimau Malaya dalam perlawanan kedua Kumpulan E menentang Bahrain pada kempen Piala Asia 2023 semalam disifatkan belum memadai untuk mengejutkan gergasi Asia, Korea Selatan pada aksi pelengkap kumpulan itu, Khamis ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Richard Scully berkata, biarpun ada peningkatan dipamer skuad Kim Pan-gon berbanding perlawanan pertama berdepan Jordan tetapi masih banyak ‘kerja rumah’ perlu dilakukan bagi mengelakkan Malaysia diaibkan pula pasukan ranking ke-23 dunia itu.
Malaysia kalah tipis 0-1 kepada Bahrain selepas dibelasah Jordan 0-4 dalam aksi pertama, Selasa lalu.
Korea Selatan sebelum ini menewaskan Bahrain 3-1 pada perlawanan pembukaan sebelum mencatat seri 2-2 berdepan Jordan pada perlawanan kedua mereka.
"Pan-gon menerapkan corak permainan dan taktikal yang sesuai apabila menentang Bahrain berbanding dengan Jordan.
"Fokus kini akan beralih kepada perlawanan menentang Korea Selatan...kita tidak boleh terapkan corak permainan sama digunakan semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada perlawanan berlangsung di Stadium Jassim bin Hamad di Doha itu semalam, jaringan tunggal pemain tengah Bahrain Ali Madan pada penghujung permainan memusnahkan peluang Harimau Malaya mengintai kemaraan ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023.
Richard dalam masa sama menuntut supaya pengendali dari Korea Selatan itu bijak dalam ‘mencatur’ corak permainan dan taktikal terbaik menentang pasukan negara kelahirannya itu.
"Berdepan Korea Selatan dia tak boleh terap corak permainan macam lawan Bahrain sebab mereka (Korea Selatan) mempunyai kemampuan taktikal yang tinggi. Kena pastikan penguasaan bola kekal serta tunggu masa yang sesuai untuk menyerang,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan beberapa kesilapan dilakukan pemain mengakibatkan pasukan kebangsaan tidak dapat menyudahkan peluang jaringan dicipta ketika perlawanan semalam.
Katanya, pemain Harimau Malaya tidak begitu serius apabila terdapat beberapa pemain tidak berada di posisi tepat untuk menerima hantaran bagi menghasilkan gerakan penyudah, sekali gus memastikan jaringan buat Malaysia.
"Pemain yang sepatutnya berada di kedudukan menerima hantaran lambat ke posisi yang sepatutnya bagi menjaringkan gol, ini kesalahan kecil, mereka perlu berganding sebagai satu pasukan yang kukuh untuk membuahkan hasil.
"Penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pula perlu memperbaiki cara beliau membuat hantaran, kebanyakan tendangan tidak tepat kepada rakan, sedangkan rakan berada di kedudukan tepat untuk serangan dan Syihan berada di kedudukan selesa untuk buat serangan balas," katanya.
Sementara itu,veteran Selangor, Shahril Arsat pula berkata, percaturan Pan Gon membuat pertukaran pemain pada babak kedua tidak memberi impak tekah memberi peluang kepada Bahrain menyerang sekali gus mencipta jaringan pada minit akhir perlawanan.
"Kita mempunyai gerakan menyerang dengan baik cuma tiada penyudah, mungkin tekanan bermain di peringkat tinggi juga menjadi faktor pemain kita tidak dapat menyudah dengan baik," katanya. - Bernama