Wartawan pulang ke Afrika selepas tiga tahun diculik

Iklan
Shiraaz Mohamed. Foto: AFP

JOHANNESBURG - Seorang wartawan foto Afrika Selatan yang diculik di utara Syria tiga tahun lepas selamat pulang ke negara asalnya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan keluarganya pada Jumaat.

Shiraaz Mohamed telah diculik pada awal 2017 ketika membuat liputan mengenai pelarian Syria di Darkush.

Iklan
Iklan

Anggota keluarganya dalam satu kenyataan ringkas berkata, berdasarkan keadaan beliau ketika ini, keluarga meminta diberikan sedikit ruang dan akan mengeluarkan kenyataan kepada media pada masa yang sesuai.

Penculiknya telah menuntut wang tebusan sebanyak AS$1.5 juta.

Iklan

Agensi bantuan Gift of the Givers, yang membawa Mohamed ke Syria dan mengetuai rundingan untuk membebaskannya berkata, pada 15 Disember 2019 beliau telah berjaya meloloskan diri dan berada di bawah jagaan pegawai perisikan Turki.

Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kepulangan Mohamed ke negara itu.

Iklan

Bagaimanapun, rakyat Afrika Selatan di media sosial menyambut baik kepulangan Mohamed dan berkata, mereka tidak sabar mendengar kisah bagaimana beliau berjaya melarikan diri. - Bernama