Nasib penunggang p-hailing terbela

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin

TINDAKAN kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dijangka membantu nasib penunggang p-hailing dengan memberi perlindungan mencukupi kepada pekerja yang terlibat dalam sektor tersebut.

Selain itu, melalui suruhanjaya ini juga mereka dapat menyelesaikan beberapa isu yang sering dibangkitkan pekerja seperti sosial, keselamatan dan kebajikan dalam jangka masa panjang.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, penghantar p-hailing sebuah syarikat penyedia perkhidmatan melaksanakan gerakan boikot di seluruh negara selama 17 jam susulan penurunan kadar harga penghantaran.

Gerakan yang dinamakan Kempen Grab Blackout itu dibuat sebagai tanda protes dan desakan agar suara mereka diberi perhatian syarikat terbabit.

Iklan

Penurunan kadar upah itu secara tidak langsung memberi impak kepada pendapatan mereka, lebih-lebih lagi dengan peningkatan harga barangan dan kos sara hidup tinggi yang terpaksa ditanggung pada masa ini.

Ia berikutan bukan semua penunggang p-hailing ini bekerja secara separuh masa yang hanya ingin mendapatkan pendapatan sampingan namun dilakukan sepenuh masa untuk menampung kehidupan seharian dan keluarga.

Iklan

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan berusaha merealisasikan penubuhan SEGiM sebaik sahaja mendapat persetujuan daripada seluruh Kabinet.

Menurut Ahmad Zahid, cadangan itu telah dikemukakan sejak tahun lalu selepas bertemu pemain industri untuk meningkatkan kebajikan pekerja ekonomi gig.

Beliau berkata, penubuhan SEGiM bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig serta menjaga kebajikan seluruh rantaian dari peringkat penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja hinggalah pengguna.

Sehubungan itu, kerajaan disaran membuat perundingan atau dialog melibatkan semua pihak berkepentingan dalam sektor itu agar penubuhan suruhanjaya itu benar-benar membantu dan tidak menindas mana-mana pihak termasuk pengguna.

Diharapkan agar usaha kerajaan itu akan dapat membantu dalam perkembangan industri gig di Malaysia dan memastikan persekitaran industri dapat dikawal selia untuk menjaga keseluruhan rantaian ekosistemnya.