KOTA BHARU - Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) akan melantik kontraktor bagi memulakan kerja-kerja meningkatkan kualiti perkhidmatan susulan peningkatan tarif air di negeri itu bermula 1 Februari ini.
Pemangku Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail berkata, langkah awal tersebut dibuat bagi membolehkan kerja-kerja membaiki paip-paip rosak dan menaik taraf beberapa loji rawatan air (LRA) dapat dilakukan untuk mengatasi masalah kualiti bekalan air negeri itu.
Menurut beliau, AKSB menyasarkan dengan pertambahan pendapatan daripada pelarasan tarif berkenaan akan membantu menampung sebahagian kos pengoperasian sekali gus mempercepatkan tempoh penyelenggaraan misalnya dari 10 hari ke tiga hari.
"Minggu ini, dalam proses pelantikan kontraktor supaya dapat menampung keperluan yang melebihi keupayaan sedia ada dan keputusan mungkin akan diketahui esok atau lusa.
"Selain paip bocor, masalah utama di Kelantan adalah kualiti air yang keruh atau berwarna merah dan AKSB akan cuba untuk mengatasi dua pemasalahan ini dalam tempoh terdekat,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Media-AKSB 2023 di The Grand Renai Hotel di sini pada Ahad.
Ujarnya, tahap Non Revenue Water (NRW) atau air terawat bocor, tidak sampai kepada pengguna kerana paip, injap atau tangki bocor di negeri ini masih melebih 50 peratus dan diharap dapat diatasi melalui kerja-kerja pembaikian paip dalam tempoh yang lebih singkat.
Kata beliau, AKSB juga dalam rangka untuk membaik pulih sistem rawatan di beberapa LRA bagi meningkatkan tahap kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna.
"Sesetengah loji yang ada di Kelantan mempunyai sistem atau proses yang sudah agak lama dan perlu dibaiki serta dinaik taraf.
"Setakat ini, keseluruhan ada 42 LRA, dalam tempoh lima tahun akan ditambah masing-masing di Merbau Chondong, Machang dan Tok Bali, Pasir Puteh selain tiga dalam pembinaan iaitu di Bukit Chupak, Gua Musang, Chicha 2 dan Tanjung Mas di Kota Bharu,” katanya.
Dalam pada itu, Izani memberitahu, jumlah tunggakan bil pengguna AKSB hingga 20 Januari 2024 ialah sebanyak RM27 juta, lebih rendah berbanding RM28.5 juta pada hujung 2022.
Menurutnya, tempoh tunggakkan bagaimanapun dianggap lama apabila mencapai kelewatan bayaran hingga tiga bulan antaranya melibatkan pengguna-pengguna di daerah Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh manakala lain-lain daerah adalah rendah.
"Keseluruhan akaun pengguna di Kelantan berjumlah 274,000 dan ada yang bagus membayar bil air lebih awal seperti pengguna di Jeli dengan tempoh tunggakan tidak sampai dua bulan.
"Kita sasarkan tempoh ini dapat dikurangkan dan berharap pengguna menjelaskan tunggakan kerana bayaran bil air akan membantu meningkatkan aliran tunai bagi kegunaan kos pengoperasian,” katanya.
Akhbar sebelum itu melaporkan pelarasan tarif air baharu bagi kategori pengguna domestik di Kelantan naik sebanyak 23 sen bagi setiap satu meter padu berkuat kuasa bulan depan.