Sampah bertimbun di Gaza timbulkan ancaman kesihatan

Iklan
Penduduk di Deir al-Balah, yang dipenuhi ribuan pelarian dari utara, bimbang tentang kesan yang boleh ditimbulkan oleh bau busuk dan pencemaran disebabkan sampah sarap. - Foto X/Jarmila2222

GAZA - Sejak konflik Hamas-Israel bermula, perkhidmatan asas di Semenanjung Gaza telah mengalami gangguan termasuk kutipan sampah.

Membersihkan longgokan sampah di jalanan adalah sukar dan akses ke tapak pelupusan pula hampir mustahil kerana ia berada di kawasan berbahaya.

Iklan
Iklan

Penduduk di Deir al-Balah, yang dipenuhi ribuan pelarian dari utara, bimbang tentang kesan yang boleh ditimbulkan oleh bau busuk dan pencemaran disebabkan sampah sarap itu terhadap kesihatan mereka.

"Kami telah berpindah dari Nuseirat dan datang ke sini, kerana kami tidak menemui tempat lain.

Iklan

"Kami datang pada waktu malam, kami terpaksa meletakkan khemah di tempat ini dan kami tidak menyedari sampah di hadapan kami. Kami terkejut pada waktu pagi apabila melihat timbunan sampah di hadapan kami.

"Sampah ini menyebabkan kita mengalami masalah kesihatan, keletihan psikologi, dan penyakit," ujar seorang pelarian Muhammad Jadallah.

Iklan

Katanya, setiap minggu ada yang akan jatuh sakit terutamanya golongan kanak-kanak dan orang tua kerana sampah yang menyebabkan penyakit.

Sementara itu, Datuk Bandar Deir al-Balah, Diab al-Jarou berkata, masalah berkaitan kutipan sampah wujud sebelum perang tetapi keadaan bertambah buruk selepas peristiwa 7 Oktober lalu.

"Kami menghadapi defisit dalam perkhidmatan yang kami sediakan kepada rakyat sebelum perang.

"Oleh itu, perkhidmatan itu pasti akan berkurangan dan tidak akan mengikut cara yang sesuai dan diingini untuk rakyat," katanya.

Serangan Israel di Semenanjung Gaza telah menghancurkan sebahagian besar wilayah itu dan menyebabkan lebih 80 peratus penduduknya yang berjumlah 2.3 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Sekatan Israel yang membenarkan hanya sedikit bantuan ke Gaza telah menyebabkan kebuluran dan wabak penyakit yang meluas.

Serangan udara, darat dan laut Israel di Gaza telah membunuh 25,000 rakyat Palestin, dua pertiga daripadanya wanita dan kanak-kanak. - Awani