KUALA LANGAT - Dua beranak maut selepas kereta dinaiki dihempap sebuah lori dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Banting – Dengkil, di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kedua-dua mangsa yang maut di lokasi kejadian adalah ibu dan anak perempuannya masing-masing berusia 10 tahun dan 40an.
"Seorang lagi anak perempuan berusia 20-an cedera di bahagian kaki," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 7.03 pagi.
"Lori tersebut telah menghempap Perodua bezza dan terdapat tiga mangsa tersepit di dalam kereta itu," katanya.
Beliau berkata, seramai 10 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting dan Teluk Panglima Garang terlibat dalam operasi tersebut.
"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya," katanya.