RAWANG - Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) menuntut supaya Rawang tidak dijadikan hab sampah negeri ini.
Jurucakapnya, Woo Wai Kuan berkata, RTI turut meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengotakan janji untuk bertemu dengan penduduk berhubung projek pembinaan insinerator di Batu Arang.
Ini kerana penduduk menyifatkan cadangan projek didakwa bakal menampung sisa pepejal dari enam pihak berkuasa tempatan (PBT) terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan akan menjejaskan kualiti kehidupan.
Katanya, penduduk menuntut hak untuk menikmati kehidupan sihat, bersih serta berkualiti.
"Kami bukan 'second class', kami menegaskan sekali lagi kami tidak mahu Rawang dijadikan hab sampah yang busuk dan tidak selamat.
"Sekali lagi, 'no one is left behind' slogan yang diserukan oleh Menteri Besar Selangor, dan kotakan janji untuk mengadakan sesi 'town hall meeting' dengan penduduk Rawang.
"Berikan tarikh, masa dan tempat (untuk sesi town hall), suara rakyat adalah suara keramat, bukan suara sampah dan jangan ketepikan suara kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
September tahun lalu, media melaporkan Amirudin memaklumkan perbincangan akan diadakan kerajaan negeri bersama pihak yang membantah pembinaan insinerator baharu di Rawang.
Menurut Amirudin, insinerator yang akan dibina itu menggunakan teknologi baharu bagi projek sisa jadi tenaga (WTE) di bawah kendalian KDEB Waste Management.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, akan berbincang dengan pihak yang membantah itu.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kira-kira 700 penduduk menyertai perhimpunan membantah cadangan projek membangunkan insinerator Batu Arang di Bandar Puteri.
Ini bukan kali pertama siri bantahan penduduk terhadap cadangan projek berkenaan tetapi sudah bermula sejak tahun lalu malah akan terus diadakan sehingga jalan penyelesaian dapat dicapai.
Perhimpunan anjuran Jaringan RTI di tapak pasar tani, Medan Puteri Bandar Puteri pada kali ini turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Abdullah.