PUTRAJAYA - Kerajaan sedang meneliti mekanisme untuk menyegerakan cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal kelas B2 kepada B secara automatik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa pendekatan sedang diteliti antaranya membabitkan umur dan tempoh pemilikan lesen.
"Apa yang telah kami bincangkan bahawa perlu ada tempoh tertentu terutamanya dari segi umur pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas."
"Kedua, pemegang lesen B2 itu untuk satu tempoh yang tertentu barulah layak untuk dapat B Penuh," katanya menerusi sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal di sini pada Isnin.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Menurutnya, perkara itu akan dimuktamadkan apabila satu mesyuarat terperinci diadakan diantara antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik (JSPT).
"Ini saya serahkan kepada Anthony untuk tentukan bila tarikhnya," katanya.
Cadangan menaik taraf lesen B2 kepada B Penuh itu disuarakan Ahmad Zahid pada Ogos tahun lalu.
Terdahulu, semasa sesi libat urus Anthony berkata, keputusan menaik taraf kepada lesen B tidak mudah seperti dijangka.
Ini kerana katanya statistik JSPT menunjukkan kemalangan jalan raya paling banyak melibatkan mereka yang berumur dalam kalangan 16 hingga 35 tahun.
"Kita lihat data, kalau budak yang baru dapat lesen B2 diberi lesen B, dia akan bertindak sewenang-wenangnya, kalau berumur sedikit mungkin lebih berpengalaman selain ada tanggungjawab kepada keluarga dan sebagainya,” katanya.
JPJ ketika ini mengklafikasikan lesen memandu Kelas B2 bagi motosikal tidak melebihi 250cc, manakala Kelas B membabitkan motosikal melebihi 500cc.