Penerima SARA 2024 terima agihan RM700 juta secara berperingkat

Iklan
Bantuan SARA 2024 di bawah kerangka Ekonomi Madani mula disalurkan pada Isnin. Gambar hiasan Bernama

SHAH ALAM - Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2024 di bawah kerangka Ekonomi Madani bagi penerima di Semenanjung mula disalurkan pada Isnin.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula akan bermula 19 Februari ini.

Iklan
Iklan

"Bagi penerima program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

"Penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, bantuan akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300.

Iklan

"Bagi golongan bujang pada 19 Februari dan 12 Ogos melalui perkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara," kata kenyataan itu.

Kementerian Kewangan melalui kenyataan sama turut memaklumkan kadar bantuan untuk isi rumah bagi program SARA tahun ini dinaikkan kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun lalu, manakala golongan bujang kekal menerima RM600.

Iklan

Program itu dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta pada tahun lepas.

Penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar.

Tambah kenyataan itu, kelayakan untuk menerima bantuan tersebut adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi kerajaan.

Selain itu, kerajaan turut bersetuju untuk meluaskan rangkaian rakan runcit atau pasar raya yang mengambil bahagian di seluruh negara iaitu kepada 515 buah berbanding 424 buah pada tahun lalu.

"Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima bantuan agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program SARA,"katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menambah baik program SARA tersebut sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup.

"Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat. Penambahbaikan program SARA ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi Madani,"katanya.