JOHOR BAHRU - Masalah kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), khususnya melibatkan Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) bakal diatasi dengan lanjutan masa operasi Klinik Kesihatan Mahmoodiah hingga 9 malam.
Menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, lanjutan masa tersebut diharap dapat memberikan peluang kepada orang ramai khususnya yang berdepan masalah kesihatan ringan mendapatkan rawatan.
Katanya, secara tidak langsung ia akan membantu mengatasi masalah kesesakan di Zon Kuning dan Merah di JKT HSA.
"Jadi, dengan lanjutan masa operasi di Klinik Kesihatan Mahmoodiah ini pesakit-pesakit yang tidak berat dirujuk ke klinik tersebut dan sekali gus mengurangkan beban di JTK,” katanya.
Tian Soon berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) ‘Menuju Ke Arah Dunia Bebas Daripada Kanser Serviks’ antara Hospital Gleneagles dan Yayasan ROSE di sini, bersempena dengan kempen Bulan Kesedaran Kanser Serviks.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Gleneagles Johor, Dr Kamal Amzan dan Pengerusi Yayasan Rose, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.
Untuk rekod, Zon Hijau JKT HAS ditutup buat sementara pada 17 Januari lalu susulan peningkatan pesakit di Zon Kuning dan Zon Merah.
Sementara itu Tian Soon berkata, pembinaan Hospital Pasir Gudang sudah pun berada pada tahap 65 peratus pembinaannya.
"Pada hujung 2023 lalu, saya telah turun ke tapak dan tengok sendiri perkembangan projek tersebut dan ia sudah pun berada pada tahap 65 peratus.
"Justeru kita berharap pada 2025, kerja-kerja ini akan berjaya disiapkan dan juga hospital ini dapat beroperasi secara berfasa mulai 2025,” katanya.