311 pegawai, anggota polis di Selangor disiasat tahun lalu

Iklan
Hussein ketika sidang media sempena perayaan Thaipusam Op Palu 2024 di Martek, Batu Caves. Foto Bernama

GOMBAK - Polis Selangor membuka kertas siasatan berkaitan kes tatatertib terhadap seramai 311 pegawai dan anggota pada tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 33 individu telah dituduh di mahkamah.

Iklan
Iklan

"Seramai 14 individu telah ditahan kerja dan 21 orang pula telah dibuang kerja, manakala selebihnya dalam tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar, di sini, pada Isnin.

Hussein berkata, pihaknya memandang serius berkaitan kes pelanggaran tatatertib, walaupun jumlah tersebut dilihat sedikit berbanding jumlah 15,000 anggota Polis Selangor.

Iklan

Beliau berkata, seramai seorang pegawai dan 10 anggota yang terlibat dalam kes tatatertib telah didakwa di mahkamah pada bulan ini.

"Penyelia kepada anggota berkenaan juga disiasat mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, tindakan akan diambil sekiranya mereka gagal dari segi penyeliaan," katanya.

Iklan

Hussein berkata, pihaknya turut menubuhkan dua pasukan khas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti untuk memantau secara berterusan terhadap 'frontliners'.

"Ia turut dibantu pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)," katanya.