[VIDEO] Tragedi Sungai Kim Kim: Irfan Wafiy derita penyakit tiada ubat - Bapa

Iklan

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perbicaraan kes saman sivil pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim di Mahkamah Tinggi pada Isnin bermula dengan bapa kepada Irfan Wafiy Idham Wazir, 16 menceritakan penderitaan anaknya yang menghidap penyakit Myokymia akibat tragedi pencemaran enam tahun lalu.

Perbicaraan hari pertama saman sivil itu dijalankan di hadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim.

Iklan
Iklan

Idham Wazir A Wahab, 53, yang juga saksi plaintif pertama berkata, keadaan kaki anaknya juga sentiasa menggeletar dan berada dalam keadaan kejang akibat pencemaran berkenaan.

Ketika disoal balas peguam, Walter Pereira pada perbicaraan kes saman sivil tersebut, Idham Wazir menjelaskan keadaan kesihatan anaknya yang kini sedang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Johor Bahru, masih belum sembuh.

Iklan
Keluarga mangsa pencemaran Sungai Kim Kim hadir ke Mahkamah Tinggi di Menara Cyberport Johor Bahru pada Isnin.

Idham Wazir berkata, meskipun diuji dengan penyakit Myokimia namun Irfan Wafiy memperoleh keputusan peperiksaan di sekolah baru-baru ini, dengan cemerlang.

"Alhamdulillah sekarang dia solat dah tidak perlu pakai kerusi. Solat macam orang lain. Namun, penyakit itu ada lagi, belum sembuh. Rawatan terakhir adalah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujarnya.

Iklan

Seterusnya, Walter Pereira bertanya mengenai rawatan Irfan Wafiq memandangkan penyakit Myokimia tiada ubat dan tiada rekod untuk penyakit tersebut di negara ini.

"Sampai sekarang tiada lagi panggilan (doktor). Tiada 'follow up' daripada Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjutan. Doktor (yang rawat Irfan Wafiy) pun sudah pencen.

"Doktor pakar yang rawat anak maklumkan penyakit ini tak ada ubat dan tiada rekod untuk penyakit ini di Malaysia. Apa yang doktor bagi (ubat) 'try and error' sahaja, berdasarkan kes-kes di luar negara.

"Namun ubat berkenaan tidak sesuai dengan anak saya. Bila anak saya makan, dia akan tidur. Dia 'student' takkan nak tidur," katanya.

Perbicaraan kes saman sivil RM30 juta terhadap 12 defenden termasuk Kerajaan Negeri Johor itu kemudiannya disambung pada Jun depan.

Peguam Datuk Kamarudin Ahmad memberitahu, tarikh perbicaraan itu ditetapkan pada 2 Jun dan pada Ogos bermula pada 18 hingga 19 serta Oktober pada 14 hingga 15.

Idham Wazir (kanan) dan Kamarudin (kiri) ketika sidang akhbar di Mahkamah Tinggi di Menara Cyberport Johor Bahru pada Isnin.

Idham Wazir bersama 41 lagi plaintif kes itu diwakili peguam, Datuk Kamarudin Ahmad, Walter Pereira dan Radiah Karim.

Peguam Kanan Persekutuan, Mohamed Azzam Zainal Abidin, yang juga Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor mewakili defendan membabitkan Kerajaan Johor, Menteri Besar, bekas Exco Alam Sekitar Johor.

Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin Nurul Farhana Khalid dan Safiyah Omar pula mewakili Pengarah Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Malaysia.

Manakala, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, dua pengarahnya serta pemandu lori, N Maridass, diwakili Phang Soon Mun, Chew Chun Wei dan Yvonne Chai.

Antara defendan lain yang akan disaman adalah Exco Alam Sekitar, JAS, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan P Tech Resources Sdn Bhd, syarikat yang membuang sisa toksik itu.

Kejadian pencemaran sisa toksik pada 13 Mac 2019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).

Pada 17 Julai tahun lalu, pihak mangsa memfailkan saman sivil itu berjaya menafikan permohonan defendan, P Tech Resources Sdn Bhd, untuk mengenepikan saman sivil yang mula difailkan pada 2019.

......................................................................................................................

42 plaintif diperintah beri keterangan kes saman sivil mangsa pencemaran Sungai Kim Kim

JOHOR BAHRU - Seramai 42 plaintif kes saman sivil pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim diperintahkan memberi keterangan dalam kes saman tersebut yang membabitkan 12 defendan termasuk Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Johor.

Peguam Datuk Kamarudin Ahmad berkata, Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim menetapakan perkara itu dalam perbicaraan hari pertama saman sivil kes berkenaan di Mahkamah Tinggi di Menara Cyberport di sini pada Isnin.

Kamarudin berkata, pada mulanya pihak pembelaan hanya menghantar nama tujuh mangsa untuk memberi keterangan mewakili 42 plaintif.

"Hari ini, hanya Idham Wazir A Wahab, bapa kepada Irfan Wafiy, 17, pelajar yang menderita Myokymia, memberi keterangan mewakili anaknya itu. Beliau adalah plaintif pertama memberi keterangan.

"Oleh itu, mahkamah hari ini menetapkan menetapkan perbicaraan disambung semula pada 2 Jun; 18 dan 19 Ogos serta 14 dan 15 Oktober depan, bagi membolehkan kesemua 41 plaintif memberi keterangan mereka," katanya ketika ditemui selepas prosiding berkenaan.

Kamarudin berkata, Jawatankuasa Bertindak Mangsa dan Keluarga Gas Toksik Sungai Kim Kim masih menunggu jawapan Kerajaan Negeri Johor untuk menyelesaikan kes saman sivil RM30 juta.

Katanya, perbicaraan kes itu akan terus berjalan mengikut tarikh yang ditetapkan hakim, namun plaintif masih terbuka untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

"Perbicaraan pada Isnin telah menamatkan penantian selama lima tahun, kesemua plantif untuk kes saman berkenaan dibicarakan selepas tertangguh akibat Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19.

"Saksi iaitu plaintif pertama Idham Wazir A Wahab, 53 telah memberikan keterangan, kami berpuas hati dgn perjalanan perbicaraan," katanya.

Pada 30 November lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019

JAS turut memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.