Bekas isteri terpengaruh ajaran sesat, bawa lari anak

Iklan
S.Lakshna Rau menunjukkan gambar terakhir bersama anaknya yang ketika itu berusia lapan tahun sebelum dilarikan oleh bekas isterinya kerana terpengaruh dengan kumpulan ajaran sesat. FOTO Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Seorang bapa berharap pihak berkuasa negara ini dapat membantu mengesan anak perempuan yang dilarikan bekas isterinya kerana terpengaruh dengan ajaran sesat.

Mangsa S Lakshna Rau, 39, berkata, anaknya S Shalini yang kini berusia 10 tahun dibawa lari oleh bekas isterinya ke luar negara sejak 8 Disember 2021 dari rumahnya di Bukit Minyak, Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

"Kali terakhir isteri saya keluar rumah beri alasan hendak berjumpa kawan tapi selepas itu dia tidak pulang ke rumah dan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi,” katanya.

Lakshna berkata, bekas isterinya turut melarikan bersama wang tunainya RM15,000 serta barangan kemas berjumlah RM35,000.

Iklan

"Berdasarkan maklumat Jabatan Imigresen, destinasi terakhir isteri dan anak saya adalah di Doha Qatar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM) di Jalan Ampang pada Isnin.

Difahamkan kumpulan ajaran sesat yang berpangkalan di Republik Trinidad dan Tobago itu berkomunikasi bersama isterinya menerusi media sosial untuk turut serta dalam kumpulan berkenaan.

Malcolm menunjukkan surat jemputan kumpulan ajaran sesat yang berpangkalan di Trinidad dan Tobago (kiri) S.Lakshna Rau

Iklan

Menurut Lakshna, enam laporan polis telah dibuat berhubung kehilangan anaknya.

"Peguam saya cuba mendapat perintah mahkamah bagi membolehkan Polis Antarabangsa (Interpol) menjalankan tugas sepenuhnya mengesan dan membawa pulang anak saya.

"Kumpulan ini pernah dilaporkan pernah terlibat aktiviti tidak bermoral yang turut mendapat perhatian bangsa,” katanya.

Tambahnya, mahkamah telah memberinya hak penjagaan penuh anak perempuannya selepas permohonan penceraiannya diluluskan mahkamah.

"Dia (bekas isteri) tidak pernah langsung menghubungi saya selepas menghilangkan diri tiga tahun lalu, menyebabkan saya bimbang dengan keselamatan anak,” katanya.

Sementara itu, Presiden FRAM, Malcolm Fernandez berkata, isterinya dipercayai telah lama terlibat dalam kumpulan ajaran sesat ini namun bijak menyembunyikan aktivitinya itu dari pengetahuan suaminya.

"Apa yang membimbangkan kumpulan ajaran sesat ini aktif merekrut pengikutnya hinggga ada yang sanggup menderma wang tunai dan sebagainya untuk kumpulan berkenaan dan saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu bagi mengelak rakyat di negara ini menjadi mangsanya,” katanya