ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyumbangkan sebanyak 8,000 kit ujian pengesanan awal kanser serviks dalam usaha membantu golongan wanita di negeri ini mengesan penyakit tersebut.
Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, langkah berkenaan juga dilihat bakal membantu menjimatkan kos rawatan kerana ia membantu mengesan kanser lebih awal.
"Apabila kanser serviks ini dapat dikesan lebih awal, pesakit mempunyai peluang yang tinggi untuk dirawat, jadi secara tidak langsung ia boleh membantu menjimatkan kos rawatan.
"Oleh itu, pada akhir bulan ini, usaha ini akan dimulakan dengan pelancarannya, sebelum kita anjurkan Klinik Bergerak Bangsa Johor yang akan ke setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memberikan peluang kepada wanita khususnya yang berada di luar bandar menjalani saringan kesihatan ini,” katanya.
Tian Soon berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Hospital Gleneagles Johor yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Kamal Amzan dan Pengerusi Yayasan Rose, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang mewakili Yayasan Rose bagi Kempen Kesedaran Kanser Serviks.
Menerusi MoU itu, Hospital Gleneagles Johor akan menyumbang sebanyak 1,500 kit ujian kepada Yayasan Rose bagi membolehkan yayasan berkenaan bergerak ke seluruh negeri ini bagi membantu golongan wanita, khususnya daripada keluarga B40 menjalankan saringan awal mengesan kanser serviks.
Tian Soon berkata, Yayasan Rose turut akan membantu bergerak bersama pasukan perubatan dalam memberi pengetahuan dan kesedaran kepada golongan sasaran mengenai kanser tersebut.
Sementara itu, Tian Soon berkata, jumlah kes kanser (pelbagai) yang dirawat di hospital awam di negeri ini menunjukkan trend peningkatan membimbangkan bagi tempoh 2018 hingga 2022.
Katanya, pada 2018, sebanyak 23,161 kes kanser dirawat di klinik onkologi di lima hospital awam utama di negeri ini dan ia meningkat kepada 42,361 kes pada 2022.
"Golongan wanita sebenarnya tahu wujudnya kanser serviks ini tetapi kita percaya ada antara mereka yang tidak ada kesedaran.
"Malah ada yang malu untuk jalankan ujian.
"Jadi sebagai satu program permulaan, kita beri percuma (kit ujian) kepada golongan sasar ini supaya mereka dapat lakukan ujian sendiri,” katanya.