Peguam Negara perlu jelaskan alasan gugur kes berprofil tinggi

Iklan
Lam Thye

SHAH ALAM - Peguam Negara, Datuk Seri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh perlu memberikan penjelasan dan alasan menarik balik pertuduhan mana-mana kes berprofil tinggi kerana ia merupakan aspek asas sistem perundangan adil serta bertanggungjawab.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia harus dijawab dalam dua konteks yang berbeza iaitu daripada konsep undang-undang dan manfaatnya untuk orang awam.

Iklan
Iklan

"Ya, undang-undang tidak memerlukan Peguam Negara untuk menjelaskan alasannya tetapi adakah ia sesuatu yang baik untuk kepentingan orang ramai?

"Ia penting untuk mencapai keseimbangan antara kedua-duanya bagi memastikan hak individu dilindungi di samping mempromosikan kesejahteraan keseluruhan masyarakat.

Iklan

Sebelum ini, Ahmad Terrirudin menegaskan AGC mempunyai hak untuk memulakan atau menghentikan pertuduhan.

Tegas beliau, pihaknya perlu diberi ruang untuk melaksanakan fungsinya dengan baik berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana undang-undang bertulis tanpa diganggu.

Iklan

Mengulas lanjut, Lam Thye yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) memaklumkan, apabila sesuatu pertuduhan digugurkan tanpa penjelasan, ia boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan.

Tambahnya, penjelasan kepada orang awam akan menjadi alasan yang dapat membantu mewujudkan rangka kerja konsisten untuk membuat keputusan dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap integriti prosiding undang-undang.

Ulas Lam Thye lagi, dengan menyediakan sebab dan alasan akan memastikan semua pihak yang terlibat termasuk tertuduh, mangsa, dan orang ramai lebih memahami mengapa pertuduhan digugurkan.

"Apabila kita tahu bahawa penarikan undang-undang memerlukan justifikasi wajar, ia dapat mengelakkan undang-undang dimanipulasi dan pendakwa raya mungkin berfikir dua kali sebelum memulakan kes yang tidak dapat disediakan bukti pendakwaan secukupnya.

"Alasan yang diwujudkan akan membantu menjelaskan piawaian undang-undang dan memenuhi kriteria AGC.

"Dalam kes di mana pertuduhan pada mulanya difailkan secara silap, memberikan alasan membolehkan pengakuan kesilapan dan tindakan pembetulan, ia membantu memperbetulkan sebarang ketidakadilan kepada tertuduh,” ujar bekas ahli Parlimen Bukti Bintang tersebut.

Justeru katanya, penjelasan rasional di sebalik penarikan pendakwaan boleh menjadi peluang untuk mendidik orang ramai yang mana ia akan membantu masyarakat memahami kerumitan dan cabaran dalam sistem perundangan.

"Alasan diutarakan secara terbuka boleh merangsang wacana awam yang membina berkaitan undang-undang dan menggalakkan pemahaman lebih baik tentang proses serta implikasinya,” ulas Lam Thye lagi.