Syamer mahu pertahan maruah negara lawan Korea Selatan

Iklan
Syamer Kutty mengasak pemain Bahrain pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu. Foto Bernama

PEMAIN tengah skuad Harimau Malaya, Mohamed Syamer Kutty Abba tidak menganggap pertemuan menentang juara dua kali Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 sebagai perlawanan pelengkap jadual.

Walaupun pintu ke pusingan 16 terbaik sudah tertutup buat Malaysia susulan dua kekalahan sebelum ini, Mohamed Syamer secara peribadi berazam memberikan aksi terbaiknya jika diturunkan pada pertembungan Khamis ini demi menjaga maruah negara.

Iklan
Iklan

Malah pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga percaya rakan sepasukannya turut mempunyai mentaliti yang sama untuk tidak menyerah kalah sebelum perlawanan bermula.

"Walaupun orang tengok kami sebagai pelengkap jadual tetapi dalam padang kami berlari, berjuang dan fight for every ball, untuk saya secara peribadi akan mendekati setiap perlawanan macam perlawanan terakhir saya.

Iklan

"Jadi saya akan bagi terbaik sebab ini adalah maruah negara yang saya pikul, jadi tiada perkara seperti pelengkap jadual, kami akan buat sehabis baik untuk perlawanan menentang Korea Selatan,” kata pemain berusia 27 tahun itu ketika ditemui di sini.

Malaysia akan membuat perhitungan dengan Korea Selatan di Stadium Al Janoub di sini yang merupakan venue pasukan negara tumpas 0-4 kepada Jordan pada aksi pembukaan Isnin lepas.

Iklan

Skuad bimbingan Kim Pan-gon selepas itu kecundang 0-1 di tangan Bahrain pada aksi kedua di Stadium Jassim Bin Hamad, kelmarin.

Mohamed Syamer diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Bahrain sebelum digantikan dengan Natxo Insa pada babak kedua perlawanan selepas langsung tidak beraksi ketika menentang Jordan.

Pada masa sama, Mohamed Syamer bersyukur dipilih dalam skuad ke Piala Asia di sebalik kekurangan minit permainan susulan dibelenggu kecederaan, selain menyifatkan pertandingan bola sepak terulung Asia itu memberikan pengalaman berharga kepada barisan pemain negara.

"Piala Asia tahapnya tinggi, kita kena mengaku perlu belajar lagi dan ada beberapa langkah yang perlu diambil. Kita tengok intensiti dan pendekatan digunakan pasukan-pasukan di sini sangat berbeza dengan perlawanan yang kita lalui sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menyimpan impian untuk terus mewakili Malaysia pada edisi Piala Asia akan datang yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada 2027.

Malaysia ketika ini di posisi tercorot dalam Kumpulan E tanpa sebarang mata dan jaringan serta bolos lima manakala Korea Selatan (kedua) berkongsi empat mata dengan pendahulu, Jordan yang akan bertemu Bahrain yang mengutip tiga mata di tempat ketiga. - Bernama