NIBONG TEBAL - Pasukan bomba mengambil masa lebih 18 jam untuk memadamkan api di sebuah kilang kayu di Jalan Kerian, Sungai Jawi di sini yang terbakar sejak petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.53 petang semalam dengan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap digegaskan ke lokasi kejadian.
"Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan kilang pemprosesan kayu berkeluasan 140 meter persegi dengan sebahagian binaan bangunan adalah terbuka.
"Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran ketika itu ialah 80 peratus dan pihak bomba menjalankan operasi pemadaman sehingga berjaya memadamkan api serta bara di kawasan kilang itu pada 1.35 tengah hari ini iaitu kira-kira 18 jam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi membabitkan lebih 100 pegawai dan anggota yang turut dibantu oleh sembilan Pasukan Bomba Sukarela itu tamat sepenuhnya pada jam 4.33 petang.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan insiden itu tidak membabitkan kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera. - Bernama