SHAH ALAM - Golongan muda di negara ini dilihat semakin sukar untuk menabung demi masa hadapan, menurut laporan diterbitkan Prudential Malaysia Assurance Berhad (PAMB) pada Isnin.
Laporan bertajuk ‘Melakar Masa Depan Yang Gemilang - Mencari Jaminan Kewangan Masa Depan: Cabaran dihadapi golongan muda Malaysia’ ditulis oleh Economist Impact mendapati, ia berikutan kenaikan gaji rendah, peningkatan kos sara hidup, perubahan dalam landskap pekerjaan serta celik kewangan terhad.
Ketua Pegawai Eksekutif PAMB, Lim Eng Seong berkata, ia turut memaparkan bahawa golongan muda berumur antara 25 hingga 34 tahun lebih bimbang tentang kewangan peribadi, terutamanya ketika berada di peringkat awal kerjaya.
"Tahun ini Prudential meraikan ulang tahun ke-100 di Malaysia.
"Oleh itu, laporan ini membuka peluang kepada kami untuk terus memenuhi keperluan generasi akan datang terutamanya apabila mereka melangkah ke alam dewasa.
"Walaupun negara ini telah melalui banyak perubahan dalam beberapa dekad, satu isu masih berterusan.
"Golongan dewasa muda mengakui mempunyai tahap kepuasan rendah tentang kesediaan membuat persiapan menghadapi masa depan.
"Ini adalah yang terendah di kalangan 13 pasaran Asia dalam kaji selidik ini,” katanya dalam kenyataan.
Laporan itu turut memaparkan golongan termuda Malaysia berumur antara 25 hingga 34 tahun lebih bimbang mengenai kewangan peribadi, terutamanya di peringkat awal kerjaya.
Malah menurut laporan tersebut, dari segi simpanan mendapati hanya 25 peratus dari kumpulan umur 25 hingga 34 tahun dan 40 peratus bagi usia 45 hingga 55 tahun menyumbang kepada dana persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Kurang daripada 48 peratus rakyat Malaysia mengakui berpuas hati dengan kesejahteraan kewangan mereka, yang kedua terendah dalam 13 pasaran Asia.
"Walaupun lebih separuh (57 peratus) yakin mempunyai simpanan mencukupi untuk menanggung kehidupan sehingga umur 80 tahun ke atas, namun ini adalah angka terendah yang dicatatkan dalam mana-mana negara.
"Kaji selidik ini mendapati rakyat Malaysia yang lebih muda berkemungkinan melakukan beberapa pekerjaan bagi menampung kehidupan dengan 38 peratus dalam kumpulan umur 25 hingga 34 tahun menyatakan mereka bekerja lebih daripada satu pekerjaan berbanding dengan 26 peratus dalam kumpulan umur di antara 35 hingga 44 tahun," ujar laporan berkenaan.
Dapatan itu merupakan sebahagian daripada laporan untuk seluruh rantau oleh Economist Impact yang bertajuk ‘Meneliti Semula Kesejahteraan di Asia: Bagaimana pandangan hidup berubah’ melibatkan 5,000 peserta di 13 pasaran Asia.
Dalam laporan terbabit, Ketua Jabatan Dasar dan Strategi KWSP, Balqais Yusoff ketika ditemu bual Economist Impact berkata, golongan muda didapati semakin sukar menabung kerana cabaran struktur gaji terutamanya tenaga kerja muda serta set kemahiran yang tidak sepadan.
"Gaji tidak berubah pada tahun kebelakangan ini bagi kebanyakan tenaga kerja, termasuk golongan muda.
"Tiada kenaikan gaji mendorong ramai golongan muda, terutama yang berpendidikan tinggi untuk berhijrah ke luar negara di mana peluang pendapatan lebih besar," kata Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial di Universiti Malaya (UM), Dr Norma Mansor pula.