KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bercadang untuk mengaturkan satu penerbangan terus ke negeri ini secara sewa khas bagi membawa pelancongan dari China sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024).
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, satu pertemuan dengan pimpinan kerajaan Persekutuan akan dijalankan bagi membincangkan perkara itu.
"Hal ini kerana, Kelantan tidak mempunyai lapangan terbang bertaraf antarabangsa yang mana penerbangan secara terus dari negara berkenaan.
"Bagaimanapun, saya fikir untuk pesawat jenis Airbus 720 tidak mempunyai masalah untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LSTIP)," katanya semasa sidang akhbar pada malam Isnin di sini.
Menurut beliau, cadangan itu hasil lawatannya bersama dengan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud semasa ke Guangzhou, China baru-baru ini.
Ujarnya, ramai lagi penduduk di Guangzhou tidak tahu mengenai pelancongan di Kelantan.
Kamarudin memberitahu, beliau optimis usaha tersebut akan membuka lembaran baharu sektor pelancongan di Kelantan.
"Kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik pelancong muslim dari Tanah Besar itu berkunjung ke negeri ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM22.9 juta untuk menjayakan TMK 2024.
Tambah Kamarudin, ia merangkumi pelbagai program berkait pembangunan pelancongan, kebudayaan, agropelancongan dan ekopelancongan.
"Secara keseluruhan kita ada 254 program untuk TMK 2024 termasuk diperingkat majlis daerah.
"Untuk peringkat negeri sahaja, kita telah siapkan 30 program sepanjang tahun ini," katanya
Menurut beliau, antara program berskala besar yang akan dilaksanakan iaitu Kelantan Internasional Bike Week, Pesta Wau Antarabangsa Kelantan, Kelantan Arts & Culture Festival, Top Spinining Asean Challenger, Kelantan Musical Heritage Festival dan Malam Warisan Dikir Barat Nusantara.
Ujarnya, pada masa sama persembahan kesenian secara mingguan dan percuma turut diadakan di Gelanggang Seni (Kota Bharu) Laman Warisan Kmapung Laut (Tumpat).
Kamarudin memberitahu, ia melibatkan persembahan rebana ubi, silat tari, wayang kulit, demonstrasi pembuatan wau dan sebagainya.