BDB, Shanghai Youzhu meterai MoU pengurusan sisa industri

Iklan
Raja Shahreen Raja Othman (duduk, dua dari kiri) dan Presiden Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd, Yu Qiang (duduk, dua dari kanan) menandatangani MoU di antara Bina Darulaman Berhad & Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd. sambil disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor ( berdiri, dua dari kiri) dan Exco Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Haim Hilman Abdullah (berdiri, dua dari kanan).

BINA Darulaman Berhad (BDB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat antarabangsa, Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd. (Shanghai Youzhu) bagi pelaksanaan projek pengurusan sisa industri secara inovatif.

Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, usaha sama ini adalah selari dengan Teras 6 Pelan Pembangunan Kedah 2035 (PPK 2035) yang melibatkan kemampanan alam sekitar serta merupakan komponen penting kepada Pelan Strategik BDB.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek yang dicadangkan bukan sahaja selaras dengan aspirasi PPK 2035, tetapi turut mengambil kira aspirasi nasional dan global iaitu Dasar Kebersihan Negara, Dasar Perubahan Iklim Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

"Usahasama ini bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dalam melaksanakan pengurusan sisa industri yang komprehensif, meminimumkan kesan terhadap alam sekitar, menggalakkan pembangunan mampan serta memastikan pematuhan kepada garis panduan dan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Iklan

"Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan untuk menyumbang kepada kesejahteraan penduduk dan komuniti di kawasan persekitaran dan pemegang taruh (stakeholders) berkaitan.

"Selaras dengan objektif ini, BDB dan Shanghai Youzhu turut merancang dan melihat akan potensi bagi menubuhkan syarikat usahasama berkaitan pembangunan pengurusan sisa industri di Negeri Kedah” kata Raja Shahreen selepas majlis menandatangani MOU di Hotel Raia di sini pada petang Isnin.

Raja Shahreen Raja Othman (berdiri depan, kiri) dan Presiden Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd, Yu Qiang ( berdiri depan, kanan) bersalaman serta bertukar buku MoU sambil disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ( berdiri belakang, tiga dari kiri).

Iklan

Majlis menandatangani MoU berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah dan Pengerusi BDB, Che Had Dhali.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi BDB, Mohd Sobri Hussein; Presiden Shanghai Youzhu Industry Co. Ltd, Yu Qiang; Presiden XREP; rakan strategik Youzhu/Jiahui; Shi Yihang dan Pengarah Kanan Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S) Malaysia, Xie Zun Xian.

Raja Shahreen berkata, BDB memilih bekerjasama dengan Shanghai Youzhu berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka selama 27 tahun dalam menguruskan proses keseluruhan rantaian bekalan bahan kimia industri.

Jelasnya, syarikat itu juga memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam pemulihan dan pengurusan sisa pepejal termasuklah sisa yang berbahaya dan terjadual, proses kitar semula sisa buangan dan mempunyai sistem pengurusan sisa industri secara holistik.

"Shanghai Youzhu juga telah melebarkan sayap di Malaysia dengan penubuhan JiahuiIndustrial (Malaysia) Sdn Bhd yang mana ia terlibat secara langsung dalam pengurusan sisa industri.

"Kerjasama ini merupakan salah satu bukti di mana BDB dan Shanghai Youzhu mempunyai visi yang sama mewujudkan masa depan yang lebih bersih dan hijau.

"Dengan ini, BDB dan Shanghai Youzhu teruja untuk merintis kepada penyelesaian inovatif yang akan memberi sumbangan yang bermakna untuk menghasilkan komuniti yang mampan dan mesra alam,” ujar beliau lagi.

Raja Shahreen juga menambah, Shanghai Youzhu kini sedang menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa kepada AT&S di Kulim, Kedah dan Chongqing, China.

Menurutnya, AT&S adalah merupakan syarikat global yang berpengkalan di Austria dan peneraju pasaran global untuk printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) berteknologi tinggi yang menjalankan operasi pengeluaran di Austria, China, India dan Korea serta mempunyai pejabat jualan di seluruh dunia.