Kisah bendera putih, cebisan bukti keluhuran hati Al-Sultan Abdullah

Iklan
Al-Sultan Abdullah bersama Tuanku Azizah meninjau keadaan banjir di Pahang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI]"Cari setiap rumah yang mengibarkan 'bendera putih' dan beri bantuan sewajarnya kepada mereka".

Itulah titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Setiausaha Sulit Kanan baginda, Datuk Nazim Mohd Alim ketika rakyat begitu terdesak sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih di hadapan rumah sebagai tanda mereka amat memerlukan bantuan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

Iklan
Iklan

Situasi ini hanyalah secebis daripada bukti kisah keluhuran hati Al-Sultan Abdullah.

Menurut Nazim, keperibadian mulia Seri Paduka yang 'pantang' melihat rakyatnya berada dalam kesusahan terutama semasa darurat kesihatan ketika itu, hakikatnya tidak hanya meninggalkan kesan kepada penerima bantuan, tetapi juga petugas Istana Negara yang turut mengagumi sahsiah baginda.

Iklan

Secara peribadi, Nazim berkata, pengalaman menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, antara paling berbekas dalam dirinya sepanjang lima tahun bekerja dengan Al-Sultan Abdullah.

"Tuanku suruh saya kira ada berapa bendera putih di Kuala Lumpur. Kemudian, saya beritahu Ketua Polis Kuala Lumpur untuk bantu saya, jadi kita pecahkan kepada Ketua Balai Polis untuk kira. Apa kita buat, (ialah) kita hantar bantuan (dan) bantuan itu datang daripada duit Tuanku sendiri,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Iklan

Kepelbagaian tugasnya itu membolehkan beliau melihat sendiri keikhlasan baginda dalam menghulurkan bantuan tanpa mengira masa, selain menyifatkan Seri Paduka memiliki hati yang sangat baik sehingga membuatkan rakyat berasa begitu dekat dengan baginda.

Tidak hanya kisah bendera putih, mungkin ramai yang masih mengingati momen Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meredah banjir dalam misi bantuan di Pahang, bertanya khabar mangsa kemalangan dan menghulurkan pertolongan kepada mangsa bencana.

"Baginda seorang yang baik hati. Malah, sampai sekarang Tuanku tidak menerima satu sen pun gaji sepanjang lima tahun Tuanku dan Raja Permaisuri Agong (bertakhta, bahkan) memulangkan semula gajinya, baginda tidak terima,” katanya yang mula bekerja di Istana Negara sebagai pembuat teks ucapan.

Hakikatnya, keluruhan hati Seri Paduka dalam membantu mereka yang memerlukan turut dirasai sendiri Nazim apabila Al-Sultan Abdullah mempelawanya untuk mengerjakan umrah pada 2019 bagi memohon kesembuhan buat anak perempuannya yang sakit.

Mungkin pelawaan itu dianggap kecil bagi sesetengah pihak, namun bagi Nazim, ia merupakan sesuatu yang sangat bermakna buat dirinya yang ketika itu berada dalam kesedihan kerana risaukan keadaan kesihatan anaknya itu.

"Ketika berada di hadapan kaabah, Tuanku datang kepada saya dan bertanya sama ada saya sudah berdoa untuk anak atau tidak, saya jawab sudah. Kemudian, Tuanku memberitahu itulah antara tujuan baginda membawa saya mengerjakan umrah iaitu untuk berdoa bagi kesihatan anak,” katanya sambil meluahkan rasa syukur kerana anaknya kini sudah pulih sepenuhnya.

Selama lima tahun berkhidmat dengan Seri Paduka, Nazim melihat sendiri daripada kaca matanya cara Al-Sultan Abdullah yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan tertinggi dalam setiap tugasannya sebagai Ketua Negara.

Maka tidak hairanlah, apabila buat kali pertama dalam sejarah Istana Negara, surau di istana berkenaan dibuka kepada orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Tuanku melihat Istana Negara bukan rumah Tuanku, Istana Negara ialah milik rakyat dan disebabkan itu, kita buka surau (kepada orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat),” katanya.

Menyifatkan Yang di-Pertuan Agong memiliki hati dan budi pekerti yang sangat tinggi, Nazim berkata, Seri Paduka juga merupakan seorang yang begitu menghormati dan menghargai setiap warga Istana Negara tanpa mengira pangkat selain menggunakan perkataan yang baik ketika memberi arahan.

Justeru, peluang berkhidmat dengan Seri Paduka disifatkan Nazim sebagai kenangan paling manis dalam hidupnya, dan rakyat Malaysia sebenarnya sangat beruntung memiliki seorang raja berjiwa rakyat yang menjadi julangan kasih setiap rakyat jelata di seluruh pelosok negara.

"Baginda merupakan Agong terbaik yang pernah rakyat Malaysia miliki. Saya pasti orang akan rindukan baginda. Sama ada Tuanku masih Agong atau tidak, baginda tetap akan bantu rakyat,” kata Nazim mengakhiri temu bual berkenaan. - Bernama