Ketua sindiket, ibu, tiga rakan didakwa edar dadah

Iklan
Cheng Wei (tengah) dan dua rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada Selasa atas pertuduhan mengedar dadah

JOHOR BAHRU - Ketua sindiket bersama ibunya dan tiga lagi rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan terlibat pengedaran dadah di Taman Larkin Idaman di sini dua minggu lalu.

Tertuduh, Wang Cheng Wei, 41, dan ibunya, Ah Yee Hwa, 62, serta Chan Siew Han, 60, dan pasangan suami isteri, Tay Khai Seng, 34, serta Yup Zun Jin, 28, hanya mengangguk faham ketika dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu.

Iklan
Iklan

Tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding yang dilakukan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar dadah jenis MDMA seberat 16,473 gram di Taman Larkin Idaman pada 5.30 pagi, 10 Januari lalu.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, kelima-limanya didakwa mengedar dadah jenis kanabis dengan berat 7,760 gram di tempat dan waktu yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, kelima-limanya tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) dan Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dua tertuduh wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada Selasa atas pertuduhan mengedar dadah.

Iklan

Sementara itu, Chei Wei mengaku bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 1.77 gram, nimetazepam seberat 0.59 gram dan kanabis 4.93 gram.

Bagi tiga pertuduhan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 ADB 1952.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei sementara pasangan suami isteri tersebut diwakili Jihad Syahida Nadia Zakaria serta Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah.

Mahkamah menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia dan tiada jaminan diberikan.

Pada 17 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan polis Johor menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi dua beranak apabila menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan anak lelakinya dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini serta Iskandar Puteri mulai 10 hingga 14 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek itu ditahan sekitar jam 5.30 pagi pada 10 Januari lalu bersama sejumlah rampasan dadah.

Menurutnya, operasi itu, pihak polis berjaya membuat rampasan dadah bernilai RM1.23 juta dan polis turut merampas pelbagai peralatan mencetak pil ekstasi seperti pencetak, pengisar, pengimbang, loyang dan penapis termasuk lima butir peluru bertulis 'S3 9mm Luger' dan 'A USA 380 Auto' yang disyaki peluru hidup.