PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada siapa yang terlepas daripada membayar cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk dirinya.
Mengambil contoh, beliau turut dikenakan cukai sebanyak RM500 susulan minyak zaitun yang diberikan salah seorang sahabat dari negara Arab, Anwar menjelaskan dirinya tetap membayar meskipun boleh merayu.
Ujar Ahli Parlimen Tambun itu, minyak tersebut diterimanya sejak beberapa tahun lalu, namun cukai tersebut tidak dikenakan ketika beliau menjadi pembangkang sebelum ini.
"Bila saya jadi Perdana Menteri, dalam beberapa bulan selepas itu, JKDM kenakan cukai...RM500. Minyak itu saya bukan buat berniaga, saya guna sendiri.
"Tapi saya tidak merayu untuk tidak membayar, saya bayar juga RM500 itu. Kalau Perdana Menteri pun kena bayar cukai, rakyat lain pun begitu (jangan culas).
"Itu bezanya... ada yang rasa bila jadi Perdana Menteri, sudah hebat, beli barang mahal-mahal tapi tidak mahu bayar cukai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia kali-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin.
Sementara itu, dalam ucapan sama, Anwar turut menzahirkan penghormatan kepada pasukan JKDM yang begitu komited dalam melaksanakan tugas.
Katanya, pelbagai kejayaan yang diraih pasukan itu termasuk mencapai sasaran kutipan cukai dan mematahkan penyeludupan wajar diberikan pujian.
"Semoga ALLAH memberkati usaha kita semua dan angkat negara kita supaya hebat di mata dunia," katanya.