'Kalau menang semua bagus, bila kalah macam-macam kritikan' - Faisal Halim

Iklan
Pemain Harimau Malaya, Faisal Halim ketika bertemu pengamal media dari Malaysia sempena Piala Asia 2023. Foto Bernama

PEMAIN sayap negara, Mohamad Faisal Abdul Halim tidak mahu memikirkan kritikan yang dilemparkan kepada pasukan Harimau Malaya selepas persembahan kurang memuaskan dipamerkan di pentas Piala Asia Qatar 2023.

Menurutnya, kritikan itu adalah perkara biasa dalam bola sepak dan dia turut mengharapkan rakan sepasukannya juga tidak terlalu tertekan dengan kritikan tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya rasa kritikan ini perkara biasa. Apabila kita menang semua ok, semua bagus, tetapi kalau kalah, macam-macam...lebih ramai jurulatih di luar sana.

"Saya harap semua rakan-rakan saya dapat mengatasi kritikan tersebut," katanya.

Iklan

Harimau Malaya mempamerkan aksi positif dalam tempoh dua tahun di bawah kendalian Kim Pan-gon apabila berjaya tampil cemerlang dalam perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

Namun, di pentas Piala Asia, skuad negara tewas kepada Jordan 0-4 dan Bahrain (0-1) dalam aksi kumpulan E dan menutup peluang mereka untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Iklan

Ia sekali gus mengundang kritikan daripada peminat yang sebelum ini meletakkan harapan tinggi untuk skuad negara melakar keputusan positif selepas kali pertama layak secara merit sejak 43 tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohamad Faisal tetap yakin Harimau Malaya tetap mampu menghadirkan tentang sengit kepada Korea Selatan walaupun sedar pasukan itu berada pada tahap yang berbeza.

"Apa jadi sekali pun dengan Korea Selatan ini kita kena bagi yang terbaik. Takkan kita nak balik dengan gol yang banyak.

"Sekurangnya kita buat lebih bagus dan beri dua atau tiga kali ganda lebih menentang mereka," katanya.