KUALA LUMPUR - Penempatan semula penjaja gerai singgang di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kampung Baru ke Medan Selera Singgang Madani@Batu Bata, Titiwangsa diharap dapat memberi impak positif kepada peniaga sedia ada.
Medan Selera Singgang Madani@Batu Bata itu dikenali sebagai Medan Selera Damai sebelum ini menyediakan lebih 40 unit kedai namun sepi tanpa pengunjung kerana beberapa unit kedai sahaja dibuka.
Peniaga asal di medan selera itu berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjadi pencetus kepada perubahan diharap membawa limpahan rezeki buat mereka.
Peniaga terbabit, Sumiati Sianturi, 60, berkata, hanya lima kedai beroperasi sekali gus mengakui pengunjung kurang datang ke medan selera itu manakala peniaga baharu masih belum memulakan perniagaan mereka.
Menurut Sumiati, dia hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sehari selepas berniaga bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam dan pendapatan diperoleh itu hanya sekadar cukup makan sahaja.
"Sebab itu peniaga lama di sini berharap kehadiran peniaga baharu dari Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1 di Kampung Baru itu dapat mengubah suasana sepi ini menjadi lebih sibuk dengan kehadiran pelanggan.
"DBKL juga sudah mengubah keadaan di sini menjadi lebih baik apabila jalan diturap semula walaupun kemudahan meletakkan kereta masih terhad dan dimonopoli oleh mereka yang bekerja berdekatan," katanya ditemui di medan selera itu pada Selasa.
Sumiati yang sudah berniaga selama 13 tahun di situ turut yakin dengan usaha mempromosikan semula medan selera itu akan dapat meningkatkan kehadiran pelanggan dan pendapatan peniaga
Pada Isnin, DBKL melaksanakan kerja meroboh deretan gerai di di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kampung Baru dan mengeluarkan notis pemakluman pengosongan tapak itu sejak Oktober lalu sementara peniaga sudah mula berpindah ke tempat baharu.
Sementara itu, seorang peniaga dari gerai singgang di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Mohd Sabri Seman, 62, berkata, hanya akan dapat memulakan perniagaan selepas memindahkan kesemua peralatan memasak.
"Buat masa ini saya belum dapat berbuat demikian kerana kedai di sini agak kecil berbanding sebelum ini dan hanya akan mula berniaga selepas semuanya selesai terlebih dahulu.
"Saya juga berharap DBKL dapat mempertimbangkan untuk memberi mana-mana peniaga mahu menyewa dua lot kedai kerana ramai peniaga menolak tawaran berniaga di sini kerana ruang sempit," katanya.
Sementara itu, salah seorang pelanggan, Abdul Razak Din, 71, yang ditemui pula mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan dapat memindahkan kaunter tiket bas berhampiran ke kawasan medan selera berkenaan.
"Ini sekurang-kurangnya dapat menarik orang ramai untuk berkunjung dan menjamu selera ke medan selera ini selepas membeli tiket dan kaunter tiket bas yang berada di bangunan berdekatan perlu dipindahkan ke sini," katanya kepada Sinar Harian.