PADU adalah perjalanan pendigitalan, sumber data berpusat tunggal - MEF

Iklan
MEF melihat Sistem PaPADU sebagai perjalanan pendigitalan negara dan satu sumber maklumat terpusat. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melihat Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai perjalanan pendigitalan negara dan satu sumber maklumat terpusat.

Presiden MEF, Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, data nasional yang terdapat dalam PADU akan menjadi tulang belakang kepada semua dasar dan strategi negara.

Iklan
Iklan

"Hab itu akan menjadikan negara lebih cekap dalam pelan yang dibuat di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Dengan butiran data yang disimpan dalam PADU, kami boleh merancang pelaksanaan yang disasarkan dan berfokus untuk menangani isu.

"Negara-negara yang berjaya di seluruh dunia menggunakan data mereka untuk memacu pertumbuhan mereka, sama ada berkaitan ekonomi, politik atau sosial. Dalam dunia data dan maklumat hari ini, penggunaan pendigitalan telah mempercepatkan proses analisis untuk mencapai keputusan yang lebih tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Setakat 21 Januari 2023, sebanyak 1,367,324 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan PADU, angka pendaftaran mencakupi kira-kira 4.7 peratus warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

PADU menyasarkan pendaftaran lebih 29 juta rakyat Malaysia.

Iklan

Sementara itu, mengenai pendaftaran PADU yang dilihat perlahan, Syed Hussain berkata, orang ramai perlu diberi taklimat mengenai rasional mewujudkan PADU dan menangani kebimbangan mereka.

Orang ramai bimbang mengenai keselamatan data pengguna dan kekurangan pemahaman terhadap keperluan mendaftar dengan PADU.

"Sehubungan itu, semua kebimbangan mengenai kepentingan mendaftar dengan PADU perlu ditangani segera untuk mendapatkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar sebelum tarikh akhir pada 31 Mac 2024,” katanya.

Dalam pertemuan antara MEF dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) semalam, MEF menawarkan DoSM untuk memberi taklimat kepada ahli MEF mengenai PADU melalui platform mesyuarat serantaunya.

"MEF berharap taklimat sebegini kepada ahli kami akan membantu mendapatkan lebih ramai pekerja sektor swasta untuk mendaftar dengan PADU," kata Syed Hussain. - Bernama