KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan mencampuri urusan pembayaran upah bagi pekerja gig khususnya melibatkan semua petugas p-hailing ketika ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, keputusan pembayaran upah adalah terletak pada tanggungjawab setiap syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.
Menurutnya penting untuk ditegaskan syarikat p-hailing tidak dilesenkan oleh kerajaan sepeti mana syarikat telekomunikasi dilesenkan pada waktu ini.
"Bagaimanapun kita sedia maklum sektor ekonomi gig ini adalah sangat dinamik dan berubah mengikut keadaan ekonomi bagi syarikat-syarikat tersebut.
"Jadi dari satu sudut, jalan tengah yang kita pilih adalah untuk mengumpulkan pelbagai pihak untuk duduk berbincang mencari jalan penyelesaian bersama dengan beberapa cadangan yang pernah diutarakan pada mesyuarat Ogos tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rungutan penunggang p-hailing yang terpaksa berhadapan dengan upah yang rendah.
Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia sebelum ini mengemukakan lima tuntutan kepada syarikat p-hailing dalam pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat Grab Malaysia di sini pada Jumaat.
Timbalan Presidennya, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, tuntutan utama adalah supaya pihak syarikat mengembalikan upah penghantar kepada yang asal berbanding sekarang hanya RM1 ke RM3.50.
Fahmi mengakui, memang ada pertemuan dan pernbincangan dibuat pada Ogos tahun lalu membabitkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan 24 buah wakil syarikat p-hailing.
"P-hailing adalah konsep ‘free market’, tapi masa yang sama ada beberapa perkara yang kita tegaskan termasuk aspek keselamatan sosial bagi para pekerja.
"Jadi di situ kita lihat ada beberapa perkara asas, tapi di waktu ini kerajaan tidak mencampuri urusan tersebut secara langsung.
"Kita ambil pendirian untuk adakan perbincangan tetapi keputusan itu adalah kepada penyedia perkhidmatan,” katanya
Tambahnya lagi, sekiranya ada syarikat lain mungkin boleh menyediakan kadar upah yang tinggi, maka itu memberi peluang kepada para rider untuk buat pilihan dan pergi kepada syarikat tersebut.
"Kita ingin memupuk daya saing dalam kalangan syarikat yang terlibat dalam ekonomi gig dan keputusan waktu ini terletak pada penyedia perkhidmatan dan para riders,” katanya
Ujarnya, buat masa ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan atau pendirian untuk mencampuri secara langsung dalam beberapa perkara berkenaan kecuali syarikat-syarikat p-hailing dilesenkan.
"Perkara asas di sini para pekerja mesti dijaga dari keselamatan sosial mereka dan perkara ini saya sudah panjangkan kepada Menteri Sumber Manusia dan juga Menteri Digital.
"Pekerja ekonomi gig khususnya riders mungkin boleh disediakan pencen ilat atau penakat kerana saya lihat pekerjaan seperti ini walaupun ekonomi gig rata-rata mereka dah bekerja lama sehingga lima enam tahun, itu bukan 'part time', tapi 'part time all the time',” selorohnya.