Wanita maut digilis treler muatan simen

Iklan
Wanita maut selepas motosikal dinaiki hilang kawalan menyebabkannya terjatuh sebelum digilis treler di Jalan Sungai Seluang, Kulim, Kedah. Foto ihsan pembaca

KULIM - Seorang wanita maut selepas motosikal dinaiki hilang kawalan menyebabkannya terjatuh sebelum digilis sebuah lori treler dalam kejadian kira-kira 8.13 pagi di Jalan Sungai Seluang, di sini pada Selasa.

Kemalangan itu menyebabkan cebisan badan mangsa berusia 20-an itu bersepai di lokasi kejadian yang berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, siasatan polis mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan treler dari arah Jalan Sungai Seluang Atas menghala ke Jalan Kulim-Baling.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa telah hilang kawalan sebelum dilanggar sebuah treler membawa muatan simen.

Iklan

"Mangsa dipercayai sedang memotong treler di bahagian tepi sebelah kiri telah hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar di bahagian tayar belakang treler.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan badan serta maut di lokasi kejadian," katanya.

Iklan

Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan dan kes disiasat bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.