KUALA LUMPUR - Masalah kurang penyeliaan terhadap pegawai dan anggota polis antara punca segelintir mereka terlibat dalam pelbagai salah laku, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, sekiranya masalah penyeliaan itu dapat diperkemaskan, berkemungkinan untuk pegawai dan anggota terjerumus melakukan perbuatan melanggar tatatertib dapat diatasi.
"Insya-ALLAH akan berkurangan, penyeliaan dan tindakan tanpa bertolak ansur itu penting dan ini yang dapat mengekang bakal-bakal pegawai dan anggota polis yang berniat untuk telribat dalam sebarang salah laku.
"Sebagai contoh, dua peratus polis terlibat salah laku manakala 98 peratus adalah okey. Walaupun sedikit jumlah peratusan (terlibat salah laku) tetapi mereka inilah yang mencemarkan imej PDRM (Polis Diraja Malaysia) keseluruhannya.
"Sekiranya ada bukti mencukupi, kami tangkap dan terus tuduh di mahkamah,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa anggota polis terlibat dengan pelbagai jenayah seperti memiliki ketum, merogol dan memeras ugut orang awam yang berlaku baru-baru ini.
Ayob Khan berkata, PDRM tidak bertolak ansur dengan sebarang penglibatan pegawai dan anggota polis dalam sebarang salah laku.
Mengulas sama ada prosedur operasi standard (SOP) pengambilan pegawai dan anggota polis perlu diperkemaskan, beliau berkata SOP berkenaan telah lengkap dan tiada masalah.
"Mereka ini sebelum masuk polis memang okey, berkemungkinan tindakan semasa mereka masuk polis iaitu persekitaran dan terdapat dugaan besar akhirnya menyebabkan mereka terlibat salah laku,” katanya. - Bernama