KUALA TERENGGANU - Terengganu dilanda banjir gelombang keempat apabila seramai 29 mangsa daripada tujuh buah keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Marang.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS pertama dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Parit mula diaktifkan sejak jam 9 pagi manakala dua lagi PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai dan SK Padang Mengkuang dibuka jam 11 pagi dan 1.50 tengah hari tadi.
"Banjir yang berlaku adalah disebabkan limpahan air sungai berdekatan ke rumah penduduk yang terletak di kawasan agak rendah.
"Ketika ini, situasi agak baik kerana air mulai surut namun penduduk tetap perlu berwaspada kerana Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan hingga esok," katanya.
Dalam pada itu, sehingga jam 4 petang Selasa, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiada sungai melepasi paras bahaya.
Menurut laporan itu, dua sungai iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap (daerah Setiu) dan Sungai Tumpat di Kampung Kemasik (daerah Kemaman) menunjukkan bacaan melepasi paras amaran.
Sementara itu, dua sungai di daerah Hulu Terengganu iaitu Sungai Tersat dan Sungai Telemong pula menunjukkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga.
Selain itu, bacaan stesen di Sungai Dungun, Kampung Pasir Raja (Daerah Dungun) dan parit utama di Padang Kemunting (daerah Kuala Nerus) juga menunjukkan ketinggian air melebihi paras berjaga-jaga.