Santai menonton Piala Asia sambil berkhemah

Iklan
Suasana santai sambil bersila menonton Piala Asia Qatar di Taman Awam, Seksyen 10, Shah Alam.

PEMINAT bola sepak berpeluang menikmati suasana santai ala perkhemahan sambil menonton aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 yang menemukan Malaysia dengan Korea Selatan pada Khamis di kafe Taman Awam, Seksyen 10, Shah Alam.

Menerusi konsep terbuka dan suasana malam alam sekitar, para pengunjung disediakan dengan kerusi dan meja untuk menjamu selera bersama keluarga serta rakan-rakan.

Iklan
Iklan

Kemudahan tersebut disediakan oleh pengusaha Kafe Kopi & Pantun, Khairun Mohamad Nor yang mahu para pengunjung berasa selesa menonton skuad Harimau Malaya beraksi sambil menghirup minuman dan menjamah makanan.

Beliau berkata, tikar turut disediakan untuk pelanggan duduk bersila ala berkelah sambil menyaksikan perlawanan di skrin gergasi.

Iklan

"Kita akur skuad negara tewas dalam dua perlawanan sebelum ini, tetapi penyertaan dalam Piala Asia amat bermakna. Pemain telah melakukan yang terbaik, maka kita perlu terus memberikan sokongan.

"Saya dan rakan kongsi kafe menyediakan skrin gergasi dan pelanggan boleh duduk bersila di atas tikar serta menikmati makanan dan minuman sambil menonton perlawanan itu," katanya.

Khairun (kiri) menyerahkan baju T Harimau Malaya kepada seorang pelanggan di Kafe Kopi & Pantun, Seksyen 10, Shah Alam.

Iklan

Sepak mula aksi Malaysia menentang Korea Selatan dijadualkan pada jam 7.30 malam di Stadium Al Janoub, Doha Khamis ini.

Menurut Khairun, ketika skuad bimbingan Kim Pan-gon berdepan Bahrain baru-baru ini, kira-kira 50 penonton memberikan sokongan dalam aksi yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1.

"Sambutan diterima amat menggalakkan biarpun ini julung-julung kali dilakukan sejak kafe berkonsep perkhemahan ini dibuka pada Oktober tahun lalu.

"Selain menawarkan aneka kopi dan makanan, kami turut menjual baju T khas Harimau Malaya untuk dipakai ketika perlawanan," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Muhammad Darwish Ahmad, 19, menyifatkan konsep tersebut sebagai santai kerana ruang yang lebih luas berbanding di restoran.

"Kawasan ini juga berdekatan dengan taman permainan, ibu bapa boleh membawa anak-kanak bermain di sekitar kafe sambil menyokong pasukan negara," katanya.