KEDAH berjaya mencapai sasaran layak ke pusingan akhir Piala Emas Khir Johari (PEKJ) 2024 edisi ke-57 selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sarawak pada perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar pada Selasa.
Keputusan tersebut diraih menerusi kemenangan regu A menang 21-10, 21-14, regu B tewas 21-17, 15-21, 16-21 dan menang melalui set penentuan melalui regu C, 21-19, 24-22.
Pada perlawanan pertama Kumpulan B pada Isnin, Kedah juga berjaya menewaskan Pahang 2-1 melalui kemenangan regu A dengan keputusan 21-17, 21-17, tewas melalui regu B 7-21, 15-21 dan menang melalui regu C, 19-21, 21-14, 21-13.
Pengurus pasukan Kedah, Mohd Nasher Ahmad, berkata, baki satu perlawanan pada Rabu bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menentukan pasukan mana yang muncul johan kumpulan B selepas lawan juga cemerlang menumpaskan Pahang 2-1 dan Sarawak 3-0.
Menurutnya, sasaran pertama untuk mara ke suku akhir berjaya dicapai dan kini Kedah mahu memberikan tumpuan untuk saingan separuh akhir pula.
"Kita akan berusaha lebih kuat pada saingan itu (separuh akhir). Saya nampak ada kesungguhan pemain ditunjukkan sepenuhnya untuk kami layak ke saingan suku akhir dan bila tercapai kita perlu terus pertingkatkan lagi setiap kelemahan yang ada.
"Kedah sudah lama tidak melangkah ke suku akhir, dan ini merupakan satu titik awal untuk menyahut seruan Exco Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din supaya Kedah dapat kembali ke landasan sebenar dalam arena sepak takraw," katanya.
Mengulas perebutan johan Kumpulan B pula, Mohd Nasher berharap semua pemainnya dapat memberikan aksi terbaik selepas mendapat sokongan padu daripada penyokong di laman sendiri.
"Kita akan bagi saingan kerana berhasrat untuk menjadi johan kumpulan agar apabila melangkah ke peringkat seterusnya akan meyakinkan pemain dan penyokong,” ujar beliau.