SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk memberi perhatian sepenuhnya mengenai pembangunan ekonomi negara, bukan sekadar bercakap semata-mata tanpa memberi sebarang hasil kepada rakyat.
Ia susulan data Perdagangan Malaysia 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menunjukkan eksport negara telah merosot dalam tempoh 10 tahun berturut-turut.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kali terakhir eksport negara menurun lebih daripada 10 bulan berturut-turut adalah sekitar 15 tahun lalu.
"Saya mohon kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) supaya memberi fokus kepada ekonomi negara.
"Tidak perlu sembang kencang, rakyat nak tengok hasil dan jangan ingat menguruskan negara sama seperti masuk pertandingan debat sewaktu di sekolah dulu.
"Benar dalam konteks eksport ada turun naiknya, namun begitu trend eksport menurun untuk 10 bulan berturut-turut ini adalah satu trend yang agak luar biasa,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Selasa.
Pada 19 Januari lalu, perdagangan Malaysia pada 2023 melepasi aras RM2 trilion bagi tiga tahun berturut-turut berjumlah RM2.637 trilion meskipun berdepan dengan landskap ekonomi global yang tidak menentu.
Jumlah yang dicatatkan itu, bagaimanapun merosot 7.3 peratus berbanding 2022, sejajar dengan pengurangan dalam permintaan global, harga komoditi yang lebih rendah, ketegangan geopolitik yang berpanjangan, kadar inflasi yang tinggi, penurunan dalam kitaran semikonduktor dunia serta kesan asas yang tinggi direkodkan pada tahun lalu.
Eksport terus melebihi aras RM1 trilion untuk tahun ketiga berturut-turut dan mencapai 82.4 peratus daripada unjuran yang ditetapkan bagi 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) meskipun jumlahnya menguncup lapan peratus kepada RM1.426 trilion pada 2023.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, penurunan nilai eksport memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutama permintaan terhadap nilai mata wang ringgit Malaysia.
Ujarnya, jika eksport terus menurun, ia akan menyumbang kepada kemerosotan nilai ringgit.
"Saya mohon sekali lagi supaya kerajaan supaya memastikan usaha berterusan untuk mengukuhkan ekonomi negara ini diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.