SHAH ALAM - Orang Melayu ketika ini berdepan beberapa cabaran untuk kembali kepada landasan asal seperti digagaskan pada 15 tahun pertama selepas merdeka dalam bidang ekonomi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, cabaran itu meliputi cara untuk melonjakkan kelas menengah Melayu iaitu daripada kumpulan makan gaji kepada mencipta kekayaan dengan mengusahakan perniagaan berdaya saing dan mengambil risiko.
"Sekiranya model kejayaan kelas ini makan gaji dengan syarikat korporat besar (walaupun berkelayakan tinggi), sampai bila-bila orang Melayu merasakan mereka tidak menguasai bidang ekonomi setanding lain.
"Selain itu, penciptaan kekayaan kelas berkenaan perlu berpaksikan daya saing dan keupayaan membangunkan perniagaan (produk dan perkhidmatan) yang mampan.
"Tidak ada istilah ‘orang kaya baru’ atau ‘orang cepat kaya’ kerana jalan pintas sepatutnya tiada dalam istilah pengupayaan ekonomi orang Melayu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bangsa Melayu berisiko untuk hilang dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya tidak bersatu padu dari sekarang.
Beliau mendakwa, Melayu juga akan ditawan dan ‘hilang tanpa perang’ ekoran tiada siapa yang ambil berat terhadap nasib bangsa itu ketika ini.
Tambah Rafizi, orang Melayu perlu mempersiapkan minda bahawa ancaman kepada penyertaan ekonomi mereka bukan hanya di negara ini, sebaliknya keterhubungan akibat globalisasi.
"Faktor skala operasi dan capaian pasaran dunia menjadi faktor penentu kemampanan sesebuah perniagaan termasuklah syarikat berkaitan kerajaan yang banyak diterajui oleh kelas menengah Melayu,” ujarnya.
Menurut Rafizi, beliau memilih untuk menghayati pesanan Hang Tuah bahawa ‘tak akan Melayu hilang di dunia’ berbanding kenyataan Mahathir tersebut.
"Memahami konteks pesanan ini iaitu apabila kekuasaan boleh mengatasi kewarasan, maka kelangsungan Melayu terletak kepada pimpinan yang adil, berhemah dan berpada-pada menggunakan kuasa.
"Jika saya menjadi ahli politik pada tahun 70-an atau awal 80-an, saya mungkin bersifat terbuka dengan doktrin beliau (Mahathir) kerana ia berupaya melahirkan hartawan Melayu yang membawa syarikat ke persada antarabangsa.
"Namun, kita telah melalui zaman berkenaan dan Mahathir juga sudah melaksanakan ideanya untuk melahirkan beberapa hartawan ternama dalam kalangan niagawan Melayu melalui campur tangan kerajaan tetapi tidak berjaya selepas diuji dengan krisis kewangan Asia Timur,” katanya lagi.