Mat Zaki daftar masuk hotel tiga hari sebelum pemandu e-hailing dibunuh - Zaki

Iklan
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) SAC Datuk Mat Zaki Md Zain telah mendaftar masuk ke sebuah hotel di sini tiga hari sebelum pemandu e-hailing Nurman Bakaratu dibunuh.

TAWAU - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) SAC Datuk Mat Zaki Md Zain telah mendaftar masuk ke sebuah hotel di sini tiga hari sebelum pemandu e-hailing Nurman Bakaratu dibunuh.

Penyambut tetamu hotel terbabit Muhammad Asyraf Muhamad Kamal, 30, berkata, berdasarkan rekod pendaftaran masuk dan keluar, Mat Zaki telah mendaftar masuk pada 10 Jan tahun lepas dan keluar keesokan harinya.

Iklan
Iklan

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata, berdasarkan rekod hotel juga, Mat Zaki menginap di premis berkenaan sebanyak 55 kali sejak 2018.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad ketika pemeriksaan utama bila kali terakhir Mat Zaki menginap di hotel itu, Muhammad Asyraf menjawab"10 Jan 2023."

Iklan

"Terdapat invois hotel atas nama Encik Mat Zaki Md Zain," katanya pada hari keenam perbicaraan kes bunuh Nurman yang membabitkan lapan tertuduh iaitu Mat Zaki, enam anggota polis dan seorang awam.

Rosdi Rastam, 45, Denis Anit, 45, Fabian Rungam, 44, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 40, John Kennedy Sanggah, 44, dan Vivien Fabian, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di sini di antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan tahun lepas.

Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Muhammad Asyraf juga berkata pada 22 Jan tahun lepas, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dari Bukit Aman telah datang ke hotel itu untuk mendapatkan salinan pendaftaran keluar masuk dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Setelah menerima surat daripada anggota polis itu, saya membuat satu panggilan telefon kepada bos saya untuk meminta kebenaran agar kami dapat beri kerjasama kepada pihak polis.

"Bos kemudian membenarkan pihak polis mendapatkan salinan rekod pendaftaran keluar masuk hotel dan mengakses CCTV hotel kami," katanya yang memaklumkan bahawa hanya penyambut tetamu bertugas boleh mengakses rakaman CCTV.

Saksi itu berkata, beliau telah meminta pihak polis menyediakan pemacu pena atau cakera keras untuk menyimpan rakaman CCTV hotel berkenaan.

"Saya ada beritahu pihak polis hotel kami tiada penyahkod tetapi kami ada satu aplikasi yang dikenali sebagai CMS digunakan untuk menyimpan rakaman CCTV hotel dan CMS boleh simpan rakaman CCTV di hotel selama tiga bulan," katanya.

Menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili Mat Zaki serta dua tertuduh lain, Muhammad Asyraf berkata Mat Zaki mungkin keluar hotel pada 9.16 pagi 11 Jan 2023.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok. - Bernama.