Son Heung-min pun manusia biasa - Safawi

Iklan
Muhammad Safawi- Foto Bernama

KELIBAT bintang Korea Selatan Son Heung-min dan percaturan jurulatih berprofil tinggi Jurgen Klinsmann tidak menggerunkan skuad Harimau Malaya menjelang aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023, esok.

Pemain sayap pasukan kebangsaan Muhammad Safawi Rasid berkata, Malaysia yang bakal turun tanpa tekanan susulan telah tersingkir, menyasarkan untuk mencalar reputasi skuad Taeguk Warriors itu, selain mempertahankan maruah negara.

Iklan
Iklan

Muhammad Safawi yang mempunyai kenangan manis menentang skuad Korea Selatan turut dibarisi Son ketika itu, menyifatkan penyerang Tottenham Hotspur itu merupakan pemain yang baik tetapi tidak mustahil untuk ‘dirantai’.

"Semua tahu, Son adalah pemain yang baik...saya tahu kemampuan dia, dalam situasi satu lawan satu mungkin dia boleh (lepas) tetapi kalau dua lawan satu atau tiga lawan satu mungkin (tak boleh lepas).

Iklan

"Dia (Son) pun manusia biasa. Saya rasa kelebihan pada kami sebab kami bertahan dan dia akan menyerang...saya percaya dengan rakan sepasukan dan jurulatih (Kim Pan Gon), jadi kita tengok perlawanan esok,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan di sini pada Selasa.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 26 tahun itu berkata, pasukan negara akan mengekalkan pendekatan sama pada perlawanan esok iaitu cuba menekan Korea Selatan sehingga melakukan kesilapan.

"Kami akan lebihkan tekanan untuk mereka buat kesilapan dan dari situ kami akan ambil kesempatan untuk melakukan serangan,” katanya.

Iklan

Muhammad Safawi menjaringkan dua gol ketika membantu skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan meraih kemenangan 2-1 mengatasi Korea Selatan yang dibarisi Son pada perlawanan peringkat kumpulan temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Di sebalik kekalahan di tangan Malaysia, Korea Selatan akhirnya merangkul pingat emas pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

Pada pertembungan di Stadium Al Janoub esok, Korea Selatan hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik sementara peluang Malaysia untuk mara sudah tertutup susulan dua kekalahan dicatat sebelum ini.

Ini merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait dengan bekas penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989. - Bernama.