ISTANBUL - Qatar pada Selasa berkata usaha pengantaraan untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tebusan antara Israel dan Hamas masih diteruskan, lapor Agensi Anadolu.
"Kami terlibat dalam rundingan dan perbincangan yang serius antara kedua-dua pihak dalam krisis di Gaza,” menurut jurucakap Kementerian Luar Majed al-Ansari pada sidang media di Doha.
"Usaha pengantaraan antara Palestin dan Israel masih diteruskan dan tidak akan berhenti, tanpa mengira keadaan di lapangan,” katanya.
Beliau mendakwa beberapa pihak cuba merosakkan reputasi Qatar, namun tidak menyatakan butiran khusus.
"Ini tidak akan menghalang kami untuk melaksanakan peranan kami selagi ada peluang untuk mencapai keamanan," katanya.
"Perang hanya mencetuskan lebih banyak kerugian,” kata al-Ansari, sambil menambah bahawa Doha sedang berhubung dengan Amerika Syarikat untuk menghentikan perang Israel, selain memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.
Israel melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza pada 7 Okt, membunuh sekurang-kurangnya 25,490 rakyat Palestin dan mencederakan 63,354 yang lain.
Serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Bernama.