SHAH ALAM - Pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) merupakan permulaan baharu yang dapat memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Pensyarah Universiti UCSI, Kuala Lumpur, Dr Othman Talib berkata, walaupun pemansuhan itu mendapat banyak tentangan namun masyarakat perlu berpegang kepada FPK untuk membangunkan potensi setiap individu tanpa rasa dipinggirkan mana-mana pihak.
Menurutnya, peperiksaan tersebut turut menjadi platform pertaruhan terhadap masa depan murid sekiranya ia masih dilaksanakan.
"Sebelum ini, kalau murid-murid cemerlang dalam UPSR serta PT3, mereka mempunyai peluang yang cerah untuk masuk sekolah berasrama penuh dan begitu juga sebaliknya.
"Siapa dapat banyak A akan naik pentas, jadi kebanggaan keluarga dan diberikan hadiah menyebabkan sebahagian murid berasa tertinggal yang mana ia sangat songsang dengan FPK malah secara tidak langsung memberi implikasi terhadap mereka.
"Mungkin ada murid yang merasakan dia tidak dapat mengejar persaingan tersebut. Jadi, matlamat kita untuk membina setiap individu tadi akhirnya menjadi satu ketagihan untuk mendapatkan A semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Siri 429 bertajuk UPSR, PT3: Perlukan ‘U-Turn’? yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020, Samuel Isaiah dan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Utama, Mohd Nazri Azalli sebagai panel.
Tambah Othman, kebanyakan murid berebut untuk mendapatkan gred A dalam subjek di sekolah yang menyebabkan negara tidak dapat dibangunkan.
"Setiap anak-anak ada menyumbang kepada kesejahteraan negara tetapi kita memberikan mereka kecanduan iaitu UPSR dan PT3.
"Apabila masuk universiti, mereka tidak tahu belajar dengan betul, berfikir, takut keluarkan idea dan mencuba sesuatu kerana tak berani buat kesalahan,” jelasnya.
Ujar Othman, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Korea, Jepun dan sebagainya hanya mempunyai satu peperiksaan ‘pertaruhan’ iaitu untuk kelayakan bagi kemasukan ke universiti.
"Ada orang kata, Jepun belajar macam nak ‘mati’ dan saya tidak nafikan tetapi apa yang berbeza dengan negara kita adalah mereka bermula ketika umur 15 tahun dan ke atas kerana berebut untuk masuk universiti terbaik.
"Di Korea dan AS juga murid belajar dengan dahsyat namun di peringkat awal mereka fokus terhadap pembinaan karakter.
"Maka, kalau dikekalkan perkara ini (UPSR dan PT3), sebenarnya kita tidak berada atau sesuai untuk masuk era abad ke-21 seperti negara maju,” katanya lagi.