PUCHONG - Kesalahan melibatkan penggunaan tayar botak selain lampu rosak antara kesalahan teknikal yang mencatatkan peningkatan sebanyak 32 peratus pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, peningkatan ketara kesalahan terbabit disebabkan sikap pemandu yang dilihat kurang mengambil berat tentang keadaan kenderaan digunakan mereka itu.
"Statistik merekodkan jumlah melibatkan kesalahan teknikal pada tahun lalu mencatatkan sebanyak 32 peratus kenaikan apabila sebanyak 349,289 kesalahan direkodkan berbanding 263, 768 pada tahun 2022.
"Kesalahan teknikal ini seharusnya dipandang serius oleh pengguna kerana ia bukan sahaja melibatkan keselamatan pemilik kenderaan itu sendiri malahan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Plaza Tol Puchong Selatan di sini pada Selasa.
Katanya, pihaknya sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang jalan raya menerusi operasi seluruh negeri ini.
"Setiap operasi yang dijalankan menggunakan modus operandi yang berbeza mengikut kesesuaian dan tumpuan utama operasi tersebut.
"Selain kesalahan teknikal, antara kesalahan lain yang turut mencatatkan kenaikan adalah tiada cukai jalan iaitu sebanyak 17,799 pada tahun 2023 berbanding 3,526 pada tahun 2022," katanya.