Nak buat inap desa boleh, tapi janganlah sampai kacau jiran

Iklan
Foto hiasan.

IBARAT satu trend apabila ramai pemilik kediaman menjadikan rumah kedua dan ketiga mereka sebagai inap desa atau homestay.

Ia menjadi sumber pendapatan buat mereka ketika ramai pelancong menjadikan inap desa sebagai penginapan alternatif kerana boleh memuatkan lebih ramai orang dalam satu-satu masa.

Iklan
Iklan

Tidak salah untuk mencari rezeki lebih, bagaimanapun pelbagai perkara perlu diambil kira oleh pemilik kediaman sebelum menjadikan rumah sebagai inap desa. Antaranya ialah kesesuaian lokasi dan keselesaan jiran-jiran bersebelahan.

Misalnya, Merak Jalanan baru-baru ini terpaksa berdepan dengan situasi penghuni inap desa membuat bising hingga jam 3 pagi.

Iklan

Teguran sudah dibuat tapi diamnya hanya seketika dan tidur terganggu sedangkan perlu bangun pagi untuk pergi kerja.

Jalan terakhir adalah memberi tahu sendiri kepada tuan rumah agar menasihatkan penyewa inap desanya untuk lebih peka terhadap jiran sekeliling.

Iklan

Walaupun ketika itu hari minggu, tidak semua bercuti kerana masih ada yang bekerja pada Sabtu atau Ahad.

Pernah juga Merak Jalanan berdepan situasi terpaksa menghidu bau busuk disebabkan lebihan sisa makanan di kawasan laman rumah yang lambat dibersihkan oleh pemilik inap desa.

Alasan diberikan, tidak sempat datang lebih awal untuk mengemas rumah selepas penyewa meninggalkan premis disebabkan sibuk bekerja.

Jika sibuk sangat pun, mungkin perkhidmatan pembersihan yang banyak ketika ini boleh digunakan.

Situasi ini mungkin hanya sebahagian daripada realiti yang berlaku di inap desa dan dihadapi mereka di sekeliling.

Sebenarnya, besar tanggungjawab sebagai pemilik inap desa, bukan sekadar memastikan keselesaan pelanggan mereka tetapi kesejahteraan orang di sekeliling juga perlu dititikberatkan.

Jangan hanya fikirkan keuntungan sehingga mengabaikan hak jiran-jiran.