MEMILIKI kediaman yang selesa di kawasan kejiranan yang harmoni sememangnya menjadi idaman semua penduduk di negara ini.
Ini kerana kawasan kejiranan yang baik bukan sahaja membawa pengaruh positif dalam kehidupan malah memberi ketenangan fikiran kepada penghuninya selain dapat menjalani kehidupan dengan selamat.
Namun bagi penduduk di kawasan Pangsapuri Mutiara Heights di Jelutong, Pulau Pinang, ketenangan yang dikecapi bertukar sengsara apabila kawasan perumahan mereka mula menjadi tumpuan kumpulan warga asing.
Ikuti luahan hati mereka yang terpaksa berjiran dengan warga asing dari pelbagai negara ketika ditemui wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman baru-baru ini.
-------
BUKAN sahaja pengotor dan tidak beradab namun kehadiran semakin ramai warga asing di sini menyebabkan persekitaran kawasan perumahan yang sebelum ini tenang dan harmoni menjadi cacamarba dengan tingkah laku mereka.
Selamba ludah sisa sirih merata-rata, sesuka hati buang sampah termasuk ada yang baling bungkusan sisa makanan dari tingkap rumah di tingkat atas sedangkan kemudahan tong sampah disediakan di setiap tingkat.
Itu antara perangai jelik yang dilakukan penduduk warga asing yang semakin hari merunsingkan penduduk tempatan serta mengancam keselamatan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan wanita.
Bukan itu sahaja, penduduk juga sangat tidak selesa dengan aktiviti mereka yang sering berkumpul tak kira waktu sambil minum arak dan buat bising di sekitar kawasan perumahan berkenaan.
Penduduk, Muhamad Badrul Anam Abdul Rahman berkata, ada juga dalam kalangan mereka tanpa segan silu melakukan aktiviti tidak bermoral dengan bersekedudukan tanpa ikatan sah malah sesuka hati membawa orang luar masuk ke dalam rumah.
"Kalau dulu kami boleh jalani kehidupan dengan tenang, selesa dan selamat namun selepas kehadiran mereka (warga asing) semua itu bagai diragut dan bertukar rimas serta huru-hara.
"Bayangkan bila ada antara mereka yang bergaduh dan buat bising di malam hari, langsung tak tahu adab hidup berjiran selain membawa budaya kehidupan mereka ke sini hingga penduduk tempatan rasa rimas dengan sikap melampau dari hari ke hari,” ujarnya.
Bagi Ashraf Hasim Mohd Hussain yang tinggal bersama keluarganya sejak tahun 2016, banyak kemudahan awam disediakan dalam kawasan perumahan itu rosak angkara warga asing, kawasan taman permainan hanya dipenuhi oleh anak-anak mereka selain kawasan koridor menjadi semak dengan kain baju yang dijemur sesuka hati.
Tambahnya, kumpulan warga asing itu sanggup tinggal bersesak dalam satu rumah, langsung tidak bertanggungjawab untuk memastikan kawasan rumah dan sekitar bersih.
"Jumlah mereka makin hari makin bertambah, bukan sahaja banyak unit di sini telah dijadikan asrama oleh majikan namun ada juga antara mereka menyewa beramai-ramai hingga beranak-pinak.
"Sampai bila kami nak jalani kehidupan dan kongsi semua kemudahan dengan mereka? Kualiti kehidupan kami makin terjejas malah rasa terancam dan tak selamat bila ada yang tinggal anak dan isteri di rumah ketika keluar bekerja,” luahnya.Ashraf Hasim berharap isu yang membelenggu penduduk mendapat perhatian serius bukan sahaja oleh Perbadanan Pengurusan Mutiara Heights malah agensi kerajaan dan penguat kuasa supaya hak warga tempatan menjalani kehidupan yang lebih tenang dapat dikembalikan.
Turut berkongsi cerita, Abdul Jabbar Abdullah, 72, yang tinggal di perumahan itu sejak ia dibuka pada tahun 2005.
Beliau mengakui suasana kehidupan mereka sudah tidak berseri selain mendapati nilai hartanah susut dan mungkin tidak laku untuk dijual disebabkan lambakan warga asing yang tinggal di sini.
"Bayangkan ada antara mereka yang bela kambing dalam rumah, penduduk tempatan ada yang mengadu kucing peliharaan hilang dipercayai ditangkap, dimasak dan dimakan oleh mereka selain bermacam masalah lain,” dakwanya.
Jelasnya, terdapat juga penghuni warga asing yang bagus dengan menghormati masyarakat tempatan namun jumlah mereka yang bermasalah lebih ramai dan perlu segera dibendung untuk mengelak keadaan menjadi lebih parah pada masa depan.
Tegasnya, kumpulan warga asing itu perlu ditempatkan di kawasan lain bukannya bersama penduduk tempatan kerana bimbang sekiranya masalah tersebut terus dibiarkan mungkin perumahan itu bakal menjadi ‘mini dhaka’ yang akan dikuasai oleh golongan itu suatu hari nanti.
TEMPATKAN PEKERJA ASING DI ASRAMA KAKITANGAN BERPUSAT
Sementara itu, langkah kerajaan negeri mewujudkan projek perumahan warga asing atau asrama kakitangan berpusat (CLQ) mungkin boleh menyelesaikan isu yang dihadapi oleh penduduk Pangsapuri Mutiara Heights.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Mutiara Heights, Muhd Arshad Abdul Rahman berkata, dengan adanya penempatan berpusat itu semua majikan tidak perlu lagi menjadikan taman perumahan dan pangsapuri di negeri ini sebagai asrama pekerja mereka hingga mengundang rasa kurang senang penduduk tempatan.Selain mudah dikawal dan tidak mengganggu ketenteraman orang lain, asrama berpusat itu lebih sistematik untuk majikan memantau pekerja mereka daripada membiarkan orang lain menjadi mangsa disebabkan tingkah laku serta perbezaan budaya yang diamalkan.
"Tidak dinafikan sikap pemilik unit yang mahu mengaut keuntungan dengan mengenakan kadar sewa tinggi kepada majikan menyebabkan perumahan ini semakin dibanjiri oleh komuniti warga asing.
"Sepatutnya memang tidak boleh kediaman di sini dijadikan asrama pekerja asing.
"Bagi mengatasi masalah ini Perbadanan Pengurusan Mutiara Heights telah buat ketetapan tidak akan ada lagi unit yang ditukar menjadi asrama warga asing,” katanya.
Ujarnya, setakat ini kira-kira 300 pekerja asing dari pelbagai negara menjadi penghuni di pangsapuri itu termasuk mereka yang dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Bagi merungkai masalah penduduk warga asing ini, satu perjumpaan telah dibuat bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) baru-baru ini bagi mencari penyelesaian terbaik.
"Alhamdulillah pihak SUHAKAM memahami malah kami menegaskan segala keputusan serta tindakan yang diambil oleh perbadanan pengurusan berlandaskan undang-undang yang sah.
"Pihak SUHAKAM juga bersetuju untuk menamatkan operasi asrama di Pangsapuri Mutiara Heights yang akan memberi kelegaan kepada lebih 5,000 penduduk tempatan di sini,” jelasnya.