PENEMBAK negara, Johnathan Wong menjadikan kejohanan di Denmark sebagai pentas pemanas badan untuk mencari momentum dan 'bahang' bersaing dengan penembak Eropah menjelang 184 hari Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai depan.
Jurulatihnya, Mohd Firdaus Abd Rahim berkata, ia juga merupakan sebagai sebahagian daripada latihan intensif bagi meletakkan penembak itu kompetitif dan setanding dengan atlet Eropah.
Beliau berkata, sebagai permulaan Johnathan menyertai pertandingan yang disertai penembak berstatus rendah dahulu dengan sasaran untuk berada di pentas akhir dan merasai suasana bertanding di Eropah.
"Sebelum ini banyak terdedah dengan kekuatan Asia (penembak). Kali ini kita nak lawan dalam suasana pertandingan di Eropah. Bermula dengan star rating rendah dua atau tiga bintang.
"Sebab dia masih dalam fasa persediaan peringkat awal. Sasaran pada pertandingan peringkat tempatan ini adalah final. Kita nak dapatkan keserasian, cara berlatih dan game play Eropah,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Mohd Firdaus menjelaskan pendedahan pertama adalah menyertai pertandingan peringkat domestik Megalink 10 meter (m) air pistol di Roskilde, Grundsolille pada Jumaat.
"Tiada sasaran spesifik dan keputusan (pertandingan) kurang 'cantik', tapi dia dapat belajar perkara baharu. Lagipun ini baru pertandingan pertama buat Johnathan pada tahun ini.
"Dalam saingan super final melibatkan 30 penembak, Johnathan muncul juara diikuti penembak Sweden di tempat kedua. Kemenangan ini tidak membawa apa-apa makna, tapi untuk merasai suasana final yang menarik di sini (Eropah),” katanya.
Beliau menambah, Johnathan juga dijadualkan berlatih bersama penembak kebangsaan Denmark selama 25 hari di Aarhus.
"Seterusnya dia akan menyertai kejohanan Terbuka Air Pistol Denmark bermula 15 hingga 18 Februari di Vildjerg.
"Game play di Denmark (kejohanan tempatan) berbeza, lebih fun final, tapi peraturan pertandingan ikut standard ISSF (Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa). Kita akan cuba serap daripada segi persekitaran dan corak permainan mereka,” katanya.
Selain Johnathan, empat atlet negara yang sudah mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik ialah Nur Shazrin Latif (pelayaran), Bertrand Rhodict Lises (terjun), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal).