ALOR GAJAH - Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun antara enam individu yang dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun menggunakan senjata terhadap warga asing.
Kesemua suspek berusia 13 hingga 27 tahun berjaya ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan IPD Sik, Kedah dalam dua serbuan berasingan pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung tiga kejadian samun terhadap warga Bangladesh di rumah kongsi kebun sayur di Kampung Padang Kambing, Kampung Melekek, Jalan Kebus pada 3, 4 dan 20 Disember lalu.
Menurutnya, berikutan itu pihaknya telah membuat risikan dan menubuhkan pasukan khas sebelum berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun bersenjatakan parang, besi dan batang buluh.
Katanya, suspek yang menutup muka dengan baju dipercayai melakukan jenayah terbabit ketika kesemua mangsa sedang tidur.
"Kegiatan samun yang dilakukan menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM8,900.
"Modus operandi suspek dalam ketiga-tiga kejadian samun dengan menceroboh rumah kongsi warga asing dalam kebun sayur ketika mereka sedang tidur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, tiga daripada suspek mengakui terlibat dalam ketiga-tiga jenayah tersebut bersama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas, manakala tiga suspek lain dibebaskan tanpa syarat.
Ujar beliau, ketiga-tiga suspek yang masih ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama di Mahkamah Alor Gajah, pada Rabu.